SUKAN

Langkawi Antara Terawal Perkenal Kategori 'Wing Foil' Pada Kejohanan Regata

06/02/2026 04:46 PM

ALOR SETAR, 6 Feb (Bernama) -- Langkawi bakal menjadi pelopor dalam kategori Wing Foil apabila buat pertama kalinya diperkenalkan pada Kejohanan Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2026, bermula Ahad ini.

Pengarah Kejohanan LIRP 2026 Mohd Afendy Abdullah berkata pengenalan acara itu dilihat selari dengan perkembangan sukan air moden yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

“Ini juga adalah antara usaha untuk menambah daya tarikan penganjuran dan menarik banyak penonton ke kejohanan berkenaan. Wing Foil ini menggabungkan elemen luncur angin, luncur ombak dan penggunaan sayap angin, sekali gus menawarkan aksi lebih pantas dan dinamik di atas permukaan air.

“Langkawi berada selangkah di hadapan apabila menjadi antara yang terawal memasukkan kategori Wing Foil sebagai acara rasmi dalam kejohanan regata berprestij kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan yang diterima juga amat memberangsangkan apabila sebanyak 25 pelayar mengesahkan penyertaan dalam kategori berkenaan, termasuk atlet dari Perancis Ghio Romain serta Paul Dickey dari Amerika Syarikat.

“Perairan Langkawi dijangka menerima tiupan angin konsisten antara 10 hingga 15 kilometer sejam pada awal minggu depan… ini bakal menyediakan keadaan yang sangat sesuai untuk acara Wing Foil berlangsung dengan baik.

“Kami juga berharap dapat melihat pelayar muda negara Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa dari Perlis untuk tampil memberi cabaran dalam kategori baharu itu,” katanya.

LIRP edisi kali ke-22 yang akan berakhir pada Khamis depan menghimpunkan 298 pelayar daripada 10 negara yang bersaing dalam sembilan kategori iaitu Optimist, Laser Standard (ILCA 7), Laser Radial (ILCA 6), Laser 4.7 (ILCA 4), International 470, International 420, Windsurfing, 29er dan Wing Foil.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520905