IPOH, 6 Feb (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya di kawasan kebun dan perladangan susulan cuaca panas dan kering kerana boleh menyebabkan api merebak dengan sangat cepat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata tapak pelupusan sampah juga antara lokasi berisiko berikutan kawasan yang luas dan tahap pemantauan terhad, selain aktiviti individu yang mencetuskan kebakaran bagi mencari barangan kitar semula untuk dijual.
“Keadaan ini amat membimbangkan sekiranya tidak dapat dikawal. Kebiasaannya kebakaran terbuka melibatkan lalang dengan keluasan sehingga dua ekar (0.8 hektar) namun kebelakangan ini, terdapat kes yang melibatkan kawasan sehingga lima ekar (dua hektar),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru Raya di sini hari ini.
Sayani berkata pihaknya menerima kira-kira 60 panggilan kecemasan sehari sepanjang keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, kira-kira 40 peratus membabitkan kebakaran terbuka, khususnya lalang, kebun dan tempat pelupusan sampah.
“Kita perlu ingat apabila berlaku kebakaran di tapak pelupusan sampah, proses pemadaman penuh mengambil masa yang agak panjang disebabkan keluasan kawasan, lokasi yang jauh dan ketiadaan sumber air terbuka menyebabkan tempoh pemadaman dilanjutkan, sekali gus meningkatkan risiko dan pencemaran,” katanya.
Sementara itu, Sayani berkata JBPM Perak berjaya menyelamatkan sebanyak RM351.97 juta nilai harta benda yang terbabit dalam kebakaran pada tahun lepas berbanding RM274.5 juta pada 2024.
“Saya tidak nafikan dalam kebanyakan kes Pasukan Bomba Sukarela banyak membantu JBPM dari segi masa tindak balas.
"Ini kerana Pasukan Bomba Sukarela membantu pemadaman kebakaran di peringkat awal, terutamanya di kawasan yang agak jauh dari balai bomba,” katanya.
-- BERNAMA