PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Lebih Tinggi, Menjejaki Kenaikan Harga Minyak Mentah

06/02/2026 06:28 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi hari ini menjejaki kenaikan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Pada waktu berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 1.63 peratus kepada US$68.59 setiap tong.

Beliau berkata, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) turut menjejaskan sentimen.

"Namun, kenaikan selanjutnya terhad kerana sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan permintaan yang perlahan dari industri tayar China menjelang cuti Tahun Baharu Cina.

"Ini diburukkan lagi dengan kelembapan berterusan dalam sektor kenderaan elektrik di tengah-tengah nasihat yang bercampur-campur dari pasaran niaga hadapan getah serantau," katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) naik sebanyak 10 sen kepada 760.50 sen setiap kilogram manakala lateks pukal berkembang 2.0 sen kepada 578.5 sen setiap kilogram.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520997