PASARAN

Ringgit Ditutup Mendatar Berbanding Dolar AS Ekoran Tekanan Pengambilan Untung

06/02/2026 08:21 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Ringgit ditutup mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan tekanan daripada aktiviti pengambilan untung apabila pelabur memanfaatkan peningkatan terkumpul sebelum ini.

Bagaimanapun, penurunan dikekang oleh data ekonomi AS yang hambar seterusnya terus menyokong permintaan terhadap mata wang pasaran yang sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

Pada 6 petang, ringgit hampir tidak berubah pada 3.9440/9525 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9535 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur mungkin telah mengambil keuntungan susulan peningkatan sebelum ini walaupun data AS kurang memberangsangkan khususnya indikator pasaran buruh semakin lemah.

Beliau yang memetik Laporan Guna Tenaga Negara oleh ADP -- firma pemprosesan pembayaran gaji -- berkata Perubahan Guna Tenaga ADP, yang mengukur guna tenaga sektor swasta, hanya meningkat sebanyak 22,000 pada Januari, lebih rendah daripada anggaran konsensus sebanyak 46,000 dan angka pada Disember 2025 iaitu 37,000.

“Bagaimanapun, ringgit mengalami dagangan tidak menentu hari ini, dengan pasangan dolar AS-ringgit meningkat setinggi 3.9670 pada sesi pagi sebelum turun dan berlegar sekitar 3.9523 pada sebelah petang,” katanya kepada Bernama.

Semasa akhir dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.5111/5167 daripada 2.5068/5130 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding pound British kepada 5.3548/3663 daripada 5.3496/3625.

Unit domestik juga kurang stabil berbanding euro kepada 4.6508/6608 daripada 4.6460/6572.

Ringgit juga didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 233.6/234.3 daripada 234.1/234.8 ketika ditutup pada Khamis namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0965/1034 daripada 3.0943/1020.

Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.4609/4933 daripada 12.3955/4320 dan lebih rendah berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.75 daripada 6.72/6.74.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521039