KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Wang palsu, mesin bitcoin, arak dan rokok antara 66,165 unit barang kes bernilai lebih RM1.8 juta yang dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata pelupusan itu melibatkan 180 kertas siasatan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan sembilan kertas siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) yang dikumpul bagi tempoh 2023 hingga Januari 2026, selepas memperoleh perintah pemusnahan serta pelupusan mahkamah di bawah Seksyen 407(2) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Pelupusan itu melibatkan anggaran nilai rampasan BSJ berjumlah RM1,613,736 manakala BSJK sebanyak RM203,530, menjadikan jumlah keseluruhan anggaran nilai pelupusan sebanyak RM1,817,266.
“Sebanyak 378 unit barang kes BSJK dengan selebihnya (65,787 unit) membabitkan barang kes BSJ termasuk pencetak mudah alih dan set komputer, peralatan perjudian, peralatan noda dan maksiat, barang kes kontraban serta barang kes am lain,” katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Bilangan 1 Tahun 2026 peringkat IPD Brickfields di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya (Kanan) Kuala Lumpur Wirna Rifin @ Ariff dan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Izralizam Sanusi.
Hoo juga berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya melaksanakan beberapa operasi membanteras mesin perjudian dan penjualan nombor ekor haram selain merampas barang kes berkaitan noda serta maksiat.
“Bahagian komersial pula melaksanakan operasi melibatkan kes panggilan penipuan,” katanya sambil menambah kes berkenaan telah selesai sama ada melalui sabitan di mahkamah atau menerima arahan tiada tindakan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Beliau berkata kali terakhir majlis pelupusan barang kes peringkat IPD Brickfields diadakan pada 25 Julai tahun lepas dan pihaknya merancang agar pelaksanaannya dapat dijalankan secara berjadual sebanyak dua kali setahun.
Katanya proses pelupusan barang kes adalah elemen penting dalam sistem keadilan jenayah kerana ia bukan sahaja memastikan stor simpanan berada dalam keadaan teratur dan selamat malah dapat mengelakkan risiko penyalahgunaan serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap profesionalisme Polis Diraja Malaysia.
-- BERNAMA