AM

Pulau Pinang Salur RM141.89 Juta Bantu Sekolah Cina, Mubaligh Sejak 2009

06/02/2026 08:46 PM

GEORGE TOWN, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan RM141.89 juta kepada sekolah-sekolah aliran Cina dan sekolah mubaligh di negeri ini bagi tempoh 2009 hingga 2025, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kemudahan pendidikan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan keselamatan dan kebajikan warga sekolah terpelihara.

“Tahun ini, kerajaan negeri memperuntuk lebih RM8 juta untuk sekolah Cina dan mubaligh. Sejak 2009, inisiatif ini membantu sekolah melakukan kerja pembaikan asas yang kritikal, khususnya yang melibatkan keselamatan murid dan pendidik.

“Peruntukan ini merangkumi kerja-kerja pembaikan bumbung rosak, pendawaian usang, tandas uzur serta kemudahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan jika tidak ditangani segera. Usaha ini penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Peruntukan Kerajaan Negeri kepada Sekolah-Sekolah Mubaligh Tahun 2026 di Komtar, hari ini.

Chow berkata selepas hampir 16 hingga 17 tahun pelaksanaan inisiatif itu, kerajaan negeri melihat perubahan ketara terhadap keadaan fizikal sekolah-sekolah yang menerima bantuan.

Seiring perkembangan semasa, beliau berkata kerajaan negeri juga sejak dua tahun kebelakangan ini turut mempertimbangkan permohonan bagi kemudahan pembelajaran moden seperti komputer, papan pintar (smart board) dan makmal inovasi (makers lab).

Beliau berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM845,000 untuk 16 sekolah mubaligh tahun ini, setelah melalui proses penilaian teliti oleh Jawatankuasa Penyelarasan Hal-Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh, termasuk lawatan tapak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan barisan ahli jawatankuasa berkaitan.

"Daripada jumlah itu, RM525,000 atau 62.3 peratus diperuntukkan untuk kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan infrastruktur sekolah, manakala RM285,000 atau hampir satu pertiga digunakan bagi pemasangan smart board, selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 dan agenda pendigitalan pendidikan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521055