Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Orang ramai biasanya hanya dapat melihat koleksi fesyen di pentas peragaan sebelum membelinya secara berasingan sama ada di butik atau platform dalam talian.
Kelaziman itu mendorong pengasas Warnabilla, Nabilah Nordin, menganjurkan WarnaRAYA x KLCC – Runway & Bazaar 2026 yang menggabungkan pertunjukan fesyen dan bazar jualan dalam satu ruang, sekali gus membolehkan pengunjung terus membeli koleksi yang dipertontonkan.
“Inspirasi saya mudah. Saya sukakan warna, Raya, fesyen serta bazar dan festival. Saya selalu pergi kedua-duanya, tetapi berharap ada satu acara yang menggabungkan semuanya sekali. Jadi saya fikir kenapa tidak cuba sendiri,” katanya pada sidang media program itu, di sini, baru-baru ini.
Program dua hari yang bakal berlangsung pada 14 dan 15 Feb di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu dijangka menampilkan sehingga 10 pereka bagi segmen runway dengan interpretasi busana Raya masing-masing, manakala bazar pula melibatkan kira-kira 60 gerai merangkumi fesyen, kecantikan dan gaya hidup.
“WarnaRAYA diwujudkan sebagai platform yang inklusif dan meriah untuk orang ramai meneroka fesyen Raya, menyokong jenama tempatan serta meraikan kreativiti. Kami mahu orang datang bukan sekadar menonton, tetapi turut membeli dan berinteraksi dengan pereka,” sambil menambah acara itu dijangka menarik lebih 6,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.
pic-2
Nabilah berharap edisi sulung program itu dapat merapatkan jurang antara pereka tempatan dan pengguna, di samping menggalakkan masyarakat lebih berani bereksperimen dengan warna bersempena Aidilfitri.
“Saya mahu orang melihat fesyen sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan dekat dengan mereka. Ini bukan sekadar acara peragaan, tetapi ruang untuk semua meraikan kreativiti dan semangat Raya bersama,” katanya.
Sementara itu, tokoh fesyen terkemuka dan pengasas Islamic Fashion Festival (IFF), Sri Raja Rezza Shah Raja Aman Shah, menyatakan bahawa Malaysia memerlukan lebih banyak platform tempatan yang berani tampil dengan identiti tersendiri serta berpotensi berkembang ke peringkat antarabangsa.
“Saya sudah terlibat dengan IFF lebih 20 tahun dan apabila dijemput menyertai acara ini, saya mahu beri sokongan kerana kita perlukan lebih banyak acara buatan Malaysia dengan kepelbagaian.
“Dalam fesyen dan penganjuran acara, sesuatu hanya benar-benar diiktiraf apabila ia dikenali di seluruh dunia. Malaysia negara kecil, komuniti kita juga kecil. Kalau semua orang buat perkara yang sama, kita akan ‘membunuh’ sesama sendiri,” katanya.
pic-3
Beliau berkata fesyen bersifat universal dan tidak terhad pada kelompok tertentu, sekali gus membuka potensi pasaran yang lebih luas kepada pereka tempatan terutamanya pada musim perayaan.
Sementara itu, pengasas bersama label fesyen tempatan Fiziwoo, Hafizi Woo dan Izree Kai Haffiz menyifatkan penglibatan jenama tersebut dalam program berkenaan cukup bermakna, bertepatan dengan ulang tahun ke-11 mereka menghasilkan koleksi “ready-to-wear” bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut mereka musim perayaan kekal sebagai tempoh paling penting bagi pereka tempatan menjana pendapatan, justeru kewujudan platform bersepadu seperti itu dilihat membantu mengukuhkan jualan serta memperluas capaian pelanggan.
“Acara seperti ini memberi platform yang baik kepada pereka. Musim perayaan memang waktu utama untuk kami berniaga, jadi peluang sebegini sangat membantu. Konsep yang menggabungkan pertunjukan fesyen dan jualan terus juga memudahkan pengunjung kerana mereka boleh melihat koleksi secara dekat sebelum membuat pembelian,” kata mereka.
Bagi pereka fesyen, Abu Shaef Hamza pula penganjuran bazar berkenaan sebagai platform tepat pada masanya, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.
“Bagi saya, ini satu peluang dan acara yang sangat baik. Bazar seperti ini memang saya nantikan kerana wajar diadakan lebih awal. Ramai rakan industri fesyen turut serta, jadi ini sesuatu yang patut kita sokong bersama,” katanya.
-- BERNAMA