AM

Kerajaan Rangka Garis Panduan Kemudahan Mesra OKU Di Semua Masjid, Surau - Zulkifli

07/02/2026 02:01 PM

TANJONG MALIM, 7 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang merangka garis panduan bagi melaksanakan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di semua masjid dan surau di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Zulkifli berkata garis panduan tersebut bakal dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan OKU Orang Islam dan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkaitan telah dilakukan setakat ini.

“Ini merupakan projek kami di bawah Hal Ehwal Agama, Alhamdulillah baru-baru ini kita latih imam dan guru untuk mereka boleh mengajar Braille. Untuk ini juga MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) telah menaja e-Braille ataupun e-Dot sistem iaitu komputer riba untuk digunakan oleh OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program MADANI Membantu: Ziarah Kasih Rahmah (ZIKIR) 2026 Bersama Komuniti Behrang di sini hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata walaupun umumnya masjid di negara ini ada yang telah memenuhi kemudahan untuk OKU, ia masih memerlukan penambahbaikan.

“Alhamdulillah, ada masjid yang sudah terkehadapan dengan mendapat anugerah dan sebagainya, kita pun sudah lakukan program (mesra OKU), sebagai contoh ada masjid khutbah pun sudah ada bahasa isyarat,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan tersebut secara meluas mungkin tidak mudah namun dengan keazaman dan tekad serta perancangan yang baik, ia boleh dilakukan.

Dalam pada itu, Zulkifli yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), berkata program hari ini adalah kerjasama strategik antara YWM dengan jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Behrang, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, rakan strategik serta sukarelawan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti setempat.

Antara inisiatif yang dilaksanakan penyampaian kotak makanan kepada 150 ketua isi rumah dan menyantuni lebih 500 masyarakat sekitar melalui pemberian petrol percuma serta program sarapan percuma kepada komuniti setempat.

Selain itu, program tersebut turut menawarkan perkhidmatan seperti kaunter wakaf, khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan percuma bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus di satu lokasi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521203