PAPAR, 7 Feb (Bernama) -- Beberapa isu infrastruktur utama di kawasan Kinarut dan Papar kini sedang giat ditangani termasuk projek jalan raya, bekalan air serta pembinaan jambatan baharu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata projek jalan utama Kinarut Selatan yang menghubungkan laluan Penampang ke Benoni telah siap sepenuhnya, dan mampu menyelesaikan masalah jalan raya di kawasan terlibat.
“Walaupun projek ini bukan di bawah Pan Borneo, ia telah siap sepenuhnya, namun proses penyerahan kepada kerajaan masih belum dimuktamadkan. Apabila projek itu diserahkan, beberapa isu berbangkit seperti penyediaan laluan ‘u-turn’ dan aspek keselamatan jalan raya akan dikenal pasti sebelum permohonan peruntukan tambahan dibuat bagi tujuan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan lot kedai di Kinarut Palm Avenue di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim dan Pengarah Urusan WSG Group Datuk Susan Wong.
Mengulas mengenai jalan raya di kawasan Kinarut itu, Armizan berkata projek itu kini sedang menunggu penilaian dan kelulusan tender daripada mesyuarat Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya (KKR) selepas dibatalkan sebelum ini.
Beliau berkata usaha berterusan sedang dilakukan bagi memastikan projek berkenaan dapat dimulakan segera, selari dengan pembangunan pesat di kawasan Kinarut termasuk Kinarut Pump City yang dijangka siap hujung tahun ini dan Kinarut Pump Avenue yang dijadualkan siap hujung tahun depan.
Projek jalan dari bulatan Sabindo sehingga Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut telah diluluskan dan melalui proses tender yang dijangka menyelesaikan masalah kesesakan trafik untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Selain itu, pembinaan jambatan baharu dari Kampung Pengalat Kecil ke Sungai Padang juga telah diperuntukkan dan dijangka ditenderkan pada suku kedua tahun ini.
Sementara itu, Wong berkata projek pembangunan komersial di Kinarut Palm Avenue yang dirasmikan hari ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat, terutamanya penduduk Papar.
Beliau berkata kira-kira 1,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dan keutamaan bakal diberikan kepada penduduk tempatan bagi mengurangkan kebergantungan tenaga kerja dari luar daerah.
“Kinarut Palm Avenue dijangka menjadi pemangkin utama bagi pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan peningkatan kualiti hidup penduduk di Kinarut dan kawasan sekitarnya,” kata Susan.
-- BERNAMA