AM

Tindakan Maksimum Terhadap Pihak Gugat Keselamatan Negara - PM Anwar

07/02/2026 06:08 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kebebasan bersuara sehingga mengganggu keselamatan negara atau mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

Beliau berkata setiap individu bebas menyuarakan pandangan dan kritikan, namun kebebasan bersuara tidak boleh digunakan untuk menghasut kebencian atau mengganggu ketenteraman awam, khususnya ketika negara menerima kehadiran tetamu asing.

Perdana Menteri India Narendra Modi dijadualkan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

“Hendak bagi pandangan boleh, hendak beri kritikan boleh, ini negara bebas ... tetapi kalau mengganggu-gugat keselamatan negara dan cuba mengkhianatinya, menyulitkan keselamatan dalam keadaan ada tamu negara, percayalah, saya akan ambil tindakan maksimum,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Gombak, hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan bahawa sikap mahu menjadi ‘hero’ dengan memainkan isu sensitif agama dan kaum hanya akan mengorbankan perpaduan kaum serta keharmonian negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau telah menyampaikan mesej jelas dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara supaya bertindak tanpa ragu-ragu terhadap sebarang cubaan mengambil alih peranan pihak berkuasa.

Beliau berkata tanggungjawab utama kerajaan adalah memastikan keselamatan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang serta menolak sebarang usaha meniup sentimen perkauman atau agama yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Ini negara kita bersama orang Melayu, Cina, dan India. Kita rangkul semua. Tunjukkanlah masih sayang. Apa salahnya warna kulit berbeza sedikit, hidung tinggi atau rendah? Mengapa perlu sampai membenci begitu?” katanya.

Berhubung isu rumah ibadat, Perdana Menteri berkata sebarang bantahan berkaitan perkara itu boleh disuarakan melalui saluran sah dan mengikut undang-undang, termasuk mengemukakan memorandum atau bantahan rasmi, namun tidak boleh dilakukan dengan cara hasutan atau melanggar peraturan.

Anwar juga berkata beliau tidak bersetuju dengan percambahan kuil yang dibina tanpa mengikut peraturan, sambil menegaskan semua pihak termasuk masjid atau gereja mesti mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi tujuan berkenaan.

Terdahulu, polis tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata keputusan itu dibuat setelah polis menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas pihak terlibat termasuk pemilik premis di sekitar lokasi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521287