JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Lelaki Terbabit Kes Pecah Rumah, Samun Di Nilai

07/02/2026 10:06 PM

NILAI, 7 Feb (Bernama) -- Polis hari ini menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan samun di Kampung Baru Mantin sekali gus menyelesaikan tiga kes jenayah samun bersenjata di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Johari Yahya berkata suspek yang berusia 40-an itu ditahan pada 5.44 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai serta Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan. 

"Turut dirampas beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah antaranya wang tunai RM500, dua cincin emas, seutas rantai emas, jam tangan jenama Rolex, dua keping mata wang asing dari Amerika Syarikat dan China serta sebuah telefon bimbit," menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata beberapa barangan peribadi termasuk pakaian serta aksesori dipercayai dipakai semasa kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Johari berkata suspek ditahan reman selama tujuh hari hingga 13 Feb ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521345