MELAKA, 8 Feb (Bernama) -- Wellness Hub Melaka Tengah yang menelan kos pembinaan sebanyak RM800,000 yang dibangunkan di Alai di sini, mula beroperasi pada 4 Jan lepas.
Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa berkata fasiliti berkenaan adalah yang kedua dibangunkan di negeri itu selepas Wellness Hub Alor Gajah pada 2014, yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan pendidikan kesihatan, saringan asas, perkhidmatan kaunseling serta pelaksanaan pelbagai program komuniti lain.
Beliau berkata terdapat pelbagai fasiliti disediakan di premis berkenaan seperti gimnasium, studio live dan rakaman, bilik gerakan Ejen Kesihatan Komuniti Malaysia (MyCHAMPION), zon kreatif dan hijau, serta galeri kesihatan.
"Wellness Hub (hab kesejahteraan) ialah pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan kesejahteraan dan kesihatan komprehensif serta bersepadu kepada komuniti setempat dan fasiliti yang ditawarkan boleh digunakan secara percuma.
"Pembangunan fasiliti berkenaan selari dengan hala tuju Kementerian Kesihatan Malaysia untuk beralih dari 'sick care' kepada 'health care' agar individu mempunyai kemahiran dalam penjagaan kesihatan diri, keluarga dan komuniti," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata hab di Melaka Tengah itu dibuka kepada orang ramai setiap Isnin hingga Jumaat bermula 10 pagi hingga 7 malam, dan orang ramai diharap dapat memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan demi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Dalam pada itu, hab di Alor Gajah turut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, khususnya masyarakat setempat dan lebih 11,000 pengunjung direkodkan menggunakan perkhidmatan pusat sehenti berkenaan pada tahun lepas.
-- BERNAMA