AM

Kerajaan Perhebat Usaha Pastikan Internet Lebih Selamat Bermula Tahun Ini - Fahmi

08/02/2026 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan mempergiat usaha bagi memastikan penggunaan Internet di negara ini lebih selamat bermula tahun ini, seiring peningkatan ancaman jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata selepas hampir empat tahun menerajui kementerian itu, tumpuan kini bukan sahaja kepada peluasan liputan, peningkatan kelajuan dan harga Internet yang murah, tetapi juga aspek keselamatan pengguna.

“Saya tidak mahu meninggalkan satu legasi, kita sudah ada capaian Internet sampai ke kawasan pedalaman tetapi seolah-olah membina satu highway (lebuh raya) bagi penjenayah untuk mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman masyarakat,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di sini hari ini.

Beliau berkata Internet sememangnya membawa banyak manfaat termasuk memudahkan urusan jual beli, akses kepada ilmu dan penyampaian maklumat, namun pada masa sama turut membuka ruang kepada penjenayah siber untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Trend mutakhir menunjukkan penjenayah telah beralih secara besar-besaran daripada jenayah fizikal kepada jenayah siber dengan modus operandi yang semakin terancang dan berterusan,” katanya.

Fahmi berkata pendedahan statistik membabitkan peningkatan kes jenayah siber oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini, menjadi antara faktor utama kementerian dan MCMC mengambil langkah lebih tegas.

Beliau berkata antara kes yang memberikan kesan mendalam ialah kes buli siber melibatkan seorang pencipta kandungan TikTok yang membawa kepada kematian mangsa, selain pendedahan sindiket pedofilia yang aktif menggunakan platform digital.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerajaan telah mengambil keputusan untuk meminda dan menggubal beberapa undang-undang berkaitan bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara tanpa menjejaskan hak kebebasan bersuara.

Fahmi berkata antara usaha yang telah dilaksanakan adalah pindaan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dibuat secara seimbang, antaranya meningkatkan kadar denda terhadap kesalahan kandungan melampau dan jelik.

“Kita nakkan hak bersuara itu diraikan tetapi masa yang sama, hak bersuara bukan hak untuk memfitnah, hak bersuara tidak bererti kita mempunyai hak untuk mengganggu orang lain, cuba memecah-belahkan masyarakat, cuba mengganggu gugat keselamatan awam. Maka, pindaan yang telah kita buat ialah satu pindaan yang sangat seimbang.

“Denda maksimum kini boleh mencecah RM500,000 atau penjara, manakala MCMC juga boleh mengenakan kompaun hingga RM250,000 berdasarkan nasihat Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Dalam masa sama, Fahmi berkata Kempen Internet Selamat tahun ini akan diperluas ke peringkat komuniti dengan penglibatan ahli jawatankuasa rukun tetangga, masjid, surau serta Komuniti MADANI bagi menyampaikan mesej keselamatan digital.

Beliau berkata pendekatan berasaskan komuniti itu penting bagi memastikan kesedaran mengenai ancaman siber sampai kepada keluarga dan kanak-kanak di seluruh negara.

“Kita akan sampaikan mesej secara berkala kepada sekolah, kepada komuniti tentang cara-cara scammer (penipu) sekarang beroperasi dan saya harap dengan maklumat yang lebih, dengan tindakan yang lebih pantas, dengan undang-undang lebih ampuh, dengan kesedaran terutama dalam kalangan ibu bapa, insya-Allah, bermula tahun ini, kita akan saksikan Internet yang lebih selamat untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521492