DUNIA

Modi Tegaskan Komitmen India Terhadap Kepusatan ASEAN, Kestabilan Indo-pasifik

08/02/2026 05:33 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri India Narendra Modi menegaskan semula komitmen teguh New Delhi terhadap kestabilan rantau Indo-Pasifik dengan kepusatan ASEAN sebagai terasnya.

“Rantau Indo-Pasifik sedang muncul sebagai enjin pertumbuhan dunia. Bersama ASEAN, kami komited terhadap pembangunan, keamanan dan kestabilan di seluruh rantau Indo-Pasifik.

“India memberi keutamaan kepada kepusatan ASEAN,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Ahad.

Dalam hal ini, Modi berkata India akan memperluas hubungan serta kerjasama dengan negara-negara sahabat ASEAN, seperti Malaysia.

“Kami bersetuju bahawa semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN–India (AITIGA) perlu diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan dengan Malaysia, selain berkongsi pandangan yang sama mengenai keperluan reformasi institusi global, terutamanya dalam landskap global semasa.

“Kami akan terus menyokong semua usaha keamanan, dan mesej kami mengenai keganasan adalah jelas: tiada dwistandard, tiada kompromi,” katanya.

Modi berkata Malaysia dan India berkongsi hubungan mendalam yang berakar umbi dalam warisan budaya dan nilai-nilai demokrasi.

“Hubungan antara India dan Malaysia adalah sangat istimewa. Kita adalah jiran maritim. Selama berabad-abad, wujud hubungan yang mendalam dan akrab antara rakyat kita.

“Hari ini, Malaysia mempunyai populasi masyarakat berketurunan India yang kedua terbesar di dunia. Tamadun kita dihubungkan melalui warisan budaya dan nilai demokrasi yang dikongsi bersama,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dua hala dan menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) serta dokumen lain yang merangkumi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara, termasuk MoU mengenai penerbitan bersama audio-visual.

Perdana Menteri India itu menzahirkan keyakinan bahawa perjanjian mengenai penerbitan bersama audio-visual berkenaan akan merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara menerusi filem dan muzik, khususnya filem Tamil.

Modi berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari dari 7 hingga 8 Feb atas undangan Anwar. Lawatan itu juga merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024. 

Sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957, Malaysia dan India telah membina perkongsian berasaskan saling hormat menghormati dan nilai bersama, dengan hubungan itu dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Ogos 2024.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521577