AM

Hutan Di Kaki Bukit Bendera Dan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung Terbakar

08/02/2026 11:44 PM

GEORGE TOWN, 8 Feb (Bernama) -- Kawasan hutan seluas kira-kira satu ekar (0.4 hektar) di kaki Bukit Bendera, di sini, terbakar petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata 25 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Jalan Lebuh Pantai, Paya Seri Balik Pulau dan Bayan Baru dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima pada 3.41 petang.

Beliau berkata Komander Operasi menjalankan penilaian awal dengan mengenakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum melaksanakan kerja pengawalan dan pemadaman, termasuk membina laluan sekat api bagi menghalang kebakaran daripada merebak.

“Operasi pemadaman dan pengawalan dilakukan menggunakan peralatan fire beater dan jet shooter, selain kaedah serangan terus dengan sistem pengepaman secara relay pumping.

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera, Mount Erskine dan Paya Terubong turut digerakkan bagi membantu mempercepatkan operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan malam ini.

John berkata kebakaran berjaya dikawal pada 4.46 petang dan dipadam sepenuhnya pada 8.05 malam, sebelum kerja pemeriksaan dan pengawasan dijalankan bagi memastikan tiada sisa bara api yang boleh mencetuskan semula kebakaran.

“Keadaan di lokasi dilaporkan selamat dan operasi ditamatkan pada 8.30 malam,” katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan John berkata longgokan sampah di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar malam ini melibatkan keluasan 100 x 100 kaki.

John berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.13 malam dan menggerakkan sepasukan 18 anggota bersama enam jentera dari BBP Nibong Tebal dan Sungai Bakap ke lokasi kejadian.

“Ketika ini operasi pemadaman masih dijalankan yang turut dibantu PBS dari Sungai Jawi, Nibong Tebal, Valdor, Tanjung Piandang serta Parit Buntar selain sokongan dua unit ekskavator daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” katanya.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dikemas kini dari masa ke semasa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2521663