AM

Projek Pembangunan Landskap KLIA Berjaya Siap Dalam Tempoh Enam Bulan - Nga

09/02/2026 11:59 PM

SEPANG, 9 Feb (Bernama) -- Projek Pembangunan Landskap Pintu Masuk Negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bernilai RM3 juta yang dilaksanakan bermula Ogos lepas berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Berucap merasmikan projek berkenaan di KLIA Terminal 1 di sini hari ini, Nga berkata projek itu merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Kementerian Pengangkutan bagi memperkasakan imej negara melalui elemen landskap yang indah, tersusun serta mencerminkan identiti Malaysia.

“Pelaksanaan pembangunan dengan peruntukan RM3 juta ini dilaksana secara fast track, iaitu dalam tempoh enam bulan yang dapat menjimatkan masa, tenaga serta kos pembangunan.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong usaha KPKT, malah mencerminkan semangat kerjasama erat antara agensi di bawah Kerajaan MADANI menerusi konsep #unityindiversity dan #strongertogether," katanya.

Beliau berkata projek pembangunan landskap KLIA ini merupakan projek pembangunan pintu masuk negara pertama yang dilaksanakan oleh KPKT dengan tema “Harmony in Diversity”, yang menekankan nilai kekayaan budaya, warisan, kepelbagaian kaum serta sumber alam semula jadi dan biodiversiti Malaysia.

Nga berkata sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), KPKT menerusi Jabatan Landskap Negara (JLN) menzahirkan komitmen untuk memperindah pintu masuk utama negara bagi memberikan tanggapan pertama yang positif serta meningkatkan daya tarikan kepada pelancong antarabangsa.

Katanya kawasan pembangunan dibahagikan kepada empat zon utama, iaitu Zon A melibatkan landskap menegak di Bangunan Terminal 1 dan 2, Zon B membabitkan pembangunan landskap di sebahagian laluan keluar terminal,  Zon C dikenali sebagai Jajaran Belantara dan Zon D, iaitu Gerbang MADANI yang menampilkan papan tanda alu-aluan “Welcome to Malaysia” lengkap dengan pencahayaan lampu solar.

“Pelaksanaan projek yang dipercepatkan ini membolehkan penjimatan masa, tenaga dan kos, selain berpotensi meningkatkan pulangan pelaburan melalui peningkatan jumlah pelancong luar negara,” katanya.

Beliau berkata projek landskap itu bukan sahaja meningkatkan imej KLIA sebagai pintu masuk utama negara, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama Asia serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Nga berkata semua pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan disaran agar berusaha meningkatkan imej serta identiti kawasan pentadbiran masing-masing dengan landskap yang tersusun serta beridentitikan Malaysia.

“Jalan-jalan protokol dan pintu masuk utama boleh diperindah dengan penanaman variasi tanaman tropika yang menarik dan beridentitikan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2522016