JAKARTA, 10 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sedia membantu agensi berita Indonesia, Antara dalam melaksanakan inisiatif membendung berita dan maklumat tidak benar menerusi kerjasama berkaitan semakan fakta.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pihaknya menyambut baik hasrat Antara yang tertarik dengan platform semakan fakta Bernama iaitu ‘MyCheck.My’ yang diwujudkan pada 2022 bagi menyemak berita dan kandungan tidak benar di Malaysia.
“Kita (Bernama) sudah memulakan semakan fakta ataupun (mewujudkan) unit semakan fakta MyCheck.MY sejak empat tahun lepas.
“Apabila pihak Antara berminat untuk bekerjasama, kita menyambutnya dengan baik dan sedia membantu, berkongsi apa yang kita tahu serta apa yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai delegasi Bernama mengadakan kunjungan hormat ke atas Direktor Utama Antara Benny Siga Butarbutar di ibu pejabat Antara di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Shukri Ishak dan Ketua Pengarang Antara Virghandi Prayudantoro.
MyCheck.My ialah platform semakan fakta yang beroperasi secara bebas untuk membanteras maklumat palsu dalam konteks Malaysia, terutamanya berkaitan isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat selain tidak menyentuh kepentingan politik, individu atau mana-mana pihak.
Nur-ul Afida berkata dalam perbincangan dua hala yang berlangsung lebih dua jam itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengaktifkan semula program kerjasama yang terhenti seketika akibat pandemik COVID-19 termasuk program 'Salam dari Jakarta' dan 'Salam dari Kuala Lumpur'.
“Saya melihat ini peluang untuk Bernama dan juga Antara saling bertukar berita khususnya mengenai kisah rakyat kedua-dua negara. Kita lebih maklum, lebih tahu tentang penduduk di kedua-dua negara. Ini antara program yang menarik,” katanya.
Terdahulu, delegasi Bernama dibawa meninjau Antara Heritage Centre, sebuah bangunan yang didirikan sebagai pejabat Antara sejak 1937 dan kini bangunan berkenaan bukan sahaja menempatkan Jabatan Pengarang, tetapi juga berfungsi sebagai pusat pendidikan kewartawanan dan muzium Antara.
“Di ibu pejabat Antara ini, menarik bagi saya kerana ia sebuah bangunan warisan, iaitu Antara dapat memelihara sebuah bangunan yang begitu lama menjadikannya satu daripada pusat rujukan juga untuk rakyat Indonesia sendiri.
“Ini sesuatu yang patut dibanggakan oleh Antara kerana berjaya memelihara warisan dan pada masa yang sama memperkenalkan agensi berita berkenaan kepada rakyat Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Benny menyatakan harapan agar kerjasama Bernama dan Antara dapat ditingkatkan ke peringkat yang lebih strategik meliputi pelbagai aspek termasuk hal berkaitan komersial dalam mendepani cabaran media masa kini.
-- BERNAMA