DUNIA

Iran, AS Puas Hati Dengan Rundingan Pertama, Sedia Untuk Pusingan Seterusnya

11/02/2026 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pusingan pertama rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di Oman berakhir dengan kedua-dua pihak menyatakan kepuasan, dan persiapan kini sedang dibuat bagi pusingan kedua rundingan, kata Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi.

Bercakap kepada media pada majlis resepsi sempena Ulang Tahun ke-47 Kemenangan Revolusi Islam Iran, beliau menegaskan bahawa di sebalik propaganda dan iklim geopolitik yang kompleks, saluran diplomatik kekal aktif.

“Pusingan pertama rundingan adalah memuaskan, kedua-dua pihak berpuas hati dan mereka akan berunding bagi pusingan kedua rundingan.

“Saya berharap, insya-Allah, diplomasi dapat berkesan, kita dapat melihat hasil diplomasi dan menjauhi peperangan,” katanya, sambil memberi amaran bahawa konflik di rantau strategik sedemikian akan membawa perpecahan dan masalah “di seluruh dunia”.

Dalam ucapan rasminya pada majlis berkenaan, Valiollah memperincikan usaha diplomatik terkini Iran, termasuk rundingan yang diadakan di Muscat pada Jumaat lalu.

Beliau menegaskan bahawa Iran kekal berpegang teguh kepada pendekatan diplomasi untuk melindungi kepentingan nasionalnya sambil memelihara keamanan serantau, berasaskan prinsip menghormati kedaulatan negara.

Dialog yang sedang berlangsung dengan perantaraan Oman itu menandakan usaha penting untuk mencegah permusuhan lanjut antara Tehran dan Washington.

Walaupun pusingan kedua rundingan kini berkemungkinan diadakan, laluan ke hadapan masih penuh dengan cabaran. Iran berusaha mendapatkan kelonggaran sekatan sebagai pertukaran kepada pengurangan uranium, manakala Washington mendesak penghentian sepenuhnya pengayaan uranium serta had terhadap keupayaan peluru berpandu balistik.

Mengulas laporan mengenai kekacauan di negaranya baru-baru ini, Valiollah menolak gambaran negatif yang tersebar di peringkat global sebagai “berita palsu” yang disebarkan oleh pihak yang berada di luar Iran.

“Terdapat banyak berita palsu. Apabila seseorang berada di luar negara, mereka menyangka itulah ceritanya. Namun apabila anda melihat Iran dan berada di Iran, anda akan dapati semuanya adalah palsu,” katanya.

Menurut duta itu, “cerita sebenar” terletak pada penyertaan berterusan rakyat Iran dalam menyokong negara mereka, khususnya dalam tempoh mencabar yang ditandai dengan rundingan dan tekanan luar.

Menyentuh aspek keselamatan dalaman, beliau mengakui bahawa sepanjang tahun lalu terdapat “pasang surut”, dengan merujuk kepada protes aman yang bermula pada 28 Dis 2025 berkaitan isu ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata perhimpunan itu telah “disalahgunakan oleh kemasukan elemen pengganas, sekali gus mengubah protes aman kepada rusuhan bersenjata”, yang mengakibatkan kecederaan serius kepada anggota penguatkuasa undang-undang.

Dalam hubungan dua hala, Valiollah memuji pengukuhan hubungan antara Tehran dan Kuala Lumpur.

Beliau mengambil maklum beberapa perkembangan penting sepanjang tahun lalu, termasuk lawatan rasmi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ke Iran pada Februari 2025 yang berakhir dengan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Iran (JCM).

Beliau turut mengetengahkan pertukaran delegasi akademik, pemeteraian perjanjian Pemindahan Banduan Antarabangsa (ITOP), serta penyambungan semula penerbangan terus antara kedua-dua ibu negara sebagai pencapaian utama dalam memperkukuh hubungan dua hala.

Majlis resepsi yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu dihadiri lebih 1,000 tetamu. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, pegawai kanan kerajaan, diplomat asing serta tokoh-tokoh terkemuka di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2522630