JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Rakan Maut Kemalangan Di Lebuhraya PLUS

11/02/2026 03:00 PM

SEREMBAN, 11 Feb (Bernama) -- Dua rakan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori membawa barangan plastik di Kilometer 254.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata kemalangan pada 12.30 tengah malam berlaku selepas motosikal ditunggang lelaki berusia 23 dan 24 tahun dari arah Seremban menuju ke Melaka yang berada di lorong kiri hilang kawalan.

“Motosikal itu dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian manakala pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2522712