KUALA TERENGGANU, 11 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan dua kadar zakat fitrah untuk tahun ini, iaitu tidak kurang RM10 dan RM20.
Yang Dipertua MAIDAM Datuk Zulkifli Ali berkata penetapan itu berdasarkan harga beras yang dimakan penduduk negeri ini dan perlu dibayar dengan wang tunai melalui 906 amil yang dilantik atau menerusi laman web rasmi institusi berkenaan.
"Zakat fitrah boleh dibayar dengan wang tunai sahaja yang bersamaan dengan nilai satu gantang Baghdad atau 2.6 kilogram atau 2.97 (cupak Malaysia) beras.
"Bagi mana-mana orang yang memakan beras jenis basmati atau yang setara, rujukan kadar zakat fitrah ialah RM20 bagi setiap seorang," katanya pada sidang media di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di sini, hari ini.
Zulkifli berkata untuk Ramadan kali ini, MAIDAM akan menyalurkan bantuan zakat kira-kira RM15.79 juta kepada 29,402 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin.
Beliau berkata agihan bantuan zakat kali ini menggunakan kaedah tuntutan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan di kedai-kedai terpilih menggunakan kad pengenalan masing-masing, berbanding tahun-tahun sebelum ini yang bantuan diberikan secara tunai kepada penerima.
Kaedah itu, katanya, bagi membolehkan MAIDAM mengesan corak perbelanjaan asnaf dan memastikan mereka menggunakan bantuan untuk pembelian barangan yang benar-benar perlu dan penting.
"Penerima boleh menuntut barangan keperluan seperti bekalan makanan kering dan basah, pakaian dan bayaran utiliti termasuk bil telefon dan pembelian tambah nilai menerusi outlet kedai runcit, hiper runcit serta dalam talian.
"Tuntutan boleh dibuat oleh penerima bermula dari 19 Feb hingga 31 Mac 2026 di kedai-kedai terpilih yang dilantik," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata kutipan zakat bagi Terengganu tahun lepas berjumlah RM301.03 juta, meningkat kira-kira sembilan peratus berbanding 2024, iaitu RM276.96 juta.
"Bagi agihan pula, MAIDAM telah menyalurkan sebanyak RM324.5 juta kepada asnaf pelbagai kategori sepanjang tahun lepas. Jumlah agihan zakat di Terengganu melebihi kutipan," katanya.
-- BERNAMA