BUTTERWORTH, 11 Feb (Bernama) -- Tiga lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini 4 Feb lepas, disambung reman dua hingga lima hari lagi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata tempoh reman tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang kesemuanya berusia 38 hingga 45 tahun itu sepatutnya tamat hari ini selepas ditahan beberapa jam selepas kejadian bunuh tersebut.
"Polis mendapat perintah sambung reman bagi lelaki warga Myanmar itu selama dua hari hingga 13 Feb manakala dua lelaki tempatan di sambung reman lima hari hingga 16 Feb.
"Perintah sambung reman itu bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan kes itu dan akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Sebelum ini media melaporkan, mangsa berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pemandu van sekolah ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah bilik dalam rumah berkenaan dengan kesan kelar pada lehernya.
Difahamkan, jiran memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis pada 1.40 tengah hari selepas mangsa yang juga ibu tunggal, tidak memberi sebarang respons meskipun pintu rumahnya terbuka manakala pagar jeriji berkunci.
-- BERNAMA