AM

38 Projek Bernilai RM1.65 Bilion Beri Impak Besar Kepada Perlis - Nanta

11/02/2026 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan 38 projek pembangunan infrastruktur di Perlis bernilai lebih RM1.65 bilion termasuk di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memberi impak besar kepada pembangunan negeri itu, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata daripada keseluruhan projek terbabit, 17 kini di peringkat prapembinaan melibatkan kos kira-kira RM880.25 juta manakala 21 projek di peringkat pembinaan dengan nilai kira-kira RM757.14 juta.

Nanta berkata pembangunan di UniMAP merangkumi pembinaan masjid, Pusat Islam dan Pusat Pengajian Kejuruteraan.

Projek lain yang sedang dilaksanakan ialah Sekolah Berasrama Penuh SMKA Kangar, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah terpilih serta penubuhan UniKL Asia Sustainable Transportation Institute (ASTI) di Lembah Chuping.

“Projek-projek ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem pendidikan negeri, malah menyokong agenda pembangunan modal insan yang mampan," katanya menerusi hantaran X hari ini.

Beliau berkata dalam sektor kesihatan, pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 Beseri (Gantian) kini merekodkan prestasi fizikal melepasi jadual semasa.

Sementara itu, projek infrastruktur jalan melibatkan laluan Semadong–Bukit Chabang, Padang Nyu–Padang Siding, Behor Mali–Kampung Kepala Sepuloh serta Kampung Wai–Jalan Dato’ Ali dijangka meningkatkan kesalinghubungan, merancakkan ekonomi setempat serta memudahkan pergerakan rakyat dan hasil pertanian.

“Di sebalik angka dan perancangan ini, keutamaan kita tetap sama iaitu memastikan rakyat merasai manfaat yang sebenar. Sama ada sekolah yang lebih selesa untuk anak-anak, kemudahan kesihatan yang lebih baik untuk komuniti, mahupun jaringan jalan raya yang lebih selamat dan lancar, setiap projek membawa impak langsung kepada kehidupan harian rakyat Perlis," katanya.

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya akan terus komited menjadi pemudah cara kepada agenda pembangunan negeri kerana kerjasama erat serta komunikasi berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah kunci kepada kemajuan yang lebih tersusun dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.

Dalam hantaran sama, Nanta berkata pelaksanaan projek berkenaan dibincangkan secara menyeluruh dalam kunjungan hormat pertama Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah ke Kementerian Kerja Raya hari ini.

“Kunjungan ini mencerminkan komitmen padu dalam memperkukuh sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara terselaras, inklusif dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2522933