AM

Peningkatan CPI 2025 Bukti Ketegasan Reformasi - Saifuddin Nasution

11/02/2026 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Pencapaian Malaysia yang melonjak ke tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 membuktikan ketegasan reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata integriti bukan sekadar slogan, tetapi menjadi asas kepada keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi dan jambatan ke arah status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027-2028.

Saifuddin Nasution berkata penguatkuasaan bersepadu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga telah berjaya memulihkan RM15.5 bilion hasil negara.

“Sebagai Menteri, saya sering ulang peringatan agar agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri terus komited memperkukuh keselamatan, membanteras jenayah terancang, mematahkan sindiket dan menutup ruang ketirisan.

“Pesanan dan peringatan saya konsisten - setiap sen hasil negara mesti kembali kepada rakyat,” katanya menerusi catatan di laman Facebook.

Menurut laporan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International semalam, skor Malaysia bagi tahun lepas meningkat kepada 52 mata berbanding 50 dalam penilaian 2024, sekali gus memperbaiki kedudukan negara daripada tangga ke-57 kepada ke-54.

Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura dan Brunei, mengekalkan kedudukan relatifnya di Asia Tenggara sambil mengatasi beberapa negara serantau.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2522962