AM

95.5 Peratus Graduan ADTEC JTM Berjaya Dapat Kerja - Khairul Firdaus

12/02/2026 05:25 PM

TAIPING, 12 Feb (Bernama) -- Kadar kebolehpasaran lulusan Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) kini mencecah 95.5 peratus, membuktikan keberkesanan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dibangunkan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dengan kerjasama industri.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pencapaian itu turut menyaksikan empat kampus ADTEC merekodkan hampir 100 peratus lulusan kolej tersebut berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat latihan.

Beliau berkata kejayaan itu didorong oleh kerjasama erat antara JTM, ADTEC, pihak industri dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam memastikan setiap program latihan yang ditawarkan menepati keperluan pasaran kerja.

"Apabila wujud ekosistem kerjasama yang baik dengan industri, setiap bidang yang ditawarkan benar-benar menepati kehendak pasaran, malah PERKESO turut membantu hingga pelajar mendapat peluang pekerjaan. 

"Kerjasama ini juga memastikan setiap perancangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) benar-benar memberi manfaat kepada pelajar, petugas dan jabatan, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan dalam hala tuju TVET Negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan KESUMA Bersama Rakyat (KBR) Sempena Karnival Teknologi dan Kreativiti JTM 2026 di ADTEC JTM Kampus Taiping di sini hari ini.

Khairul Firdaus berkata karnival berkenaan juga menjadi platform penting untuk memperkasa inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar serta menghimpunkan institusi di bawah ADTEC, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, jabatan kerajaan serta pihak industri.

"Penganjuran program ini mencerminkan peranan ADTEC di bawah JTM dalam menggerakkan sektor inovasi dan kreativiti, selain membentuk keyakinan pelajar untuk menembusi pasaran kerja. Karnival ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk melihat peluang baharu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairul Firdaus berkata JTM terus memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan institusi TVET di bawah seliaannya apabila 52 ciptaan berjaya dipatenkan, sekali gus membuktikan keupayaan tenaga pengajar dan pelajar menghasilkan teknologi yang praktikal serta relevan dengan keperluan industri.

Beliau berkata antara inovasi yang telah dipatenkan ialah Peralatan untuk Membuka Durian dan Seumpamanya Secara Automatik, Peralatan Pemanggang Sate Automatik Mudah Alih, Lengan Kimpalan - Peranti untuk Mencegah Pergerakan Lengan serta Sistem Sokongan Kerusi Roda.

"Daripada jumlah itu 19 pendaftaran melibatkan paten dan pembaharuan utiliti, dengan lima daripadanya telah memperoleh kelulusan, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian," katanya. 

Selain itu, beliau berkata reka bentuk industri mencatatkan lima pendaftaran, diikuti hak cipta sebanyak 30 pendaftaran serta tiga cap dagangan.

"Statistik tersebut membuktikan bahawa inovasi yang dibangunkan oleh institusi TVET di bawah JTM bukan sahaja bersifat praktikal, malah berpotensi tinggi untuk dikomersialkan serta menyumbang kepada penjanaan nilai ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523270