AM

Anugerah E50 Kembali Dengan Pembaharuan Lebih Dinamik

12/02/2026 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Anugerah Enterprise 50 (E50) yang mengiktiraf pencapaian 50 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terunggul di Malaysia kembali dianjurkan tahun ini dengan pembaharuan lebih dinamik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata Anugerah E50 akan diadakan bersama-sama program E50 Export Conference dan E50 Biz Matching bagi menggalakkan peluang perniagaan, memperkukuh jaringan perdagangan serta menyokong pertumbuhan eksport PMKS tempatan.

E50 Export Conference akan menjadi platform membincangkan bukan sahaja isu dan cabaran menembusi pasaran eksport tetapi juga sebagai medan penerokaan peluang baharu menerusi perjanjian perdagangan serantau serta global yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat E50,” katanya.

Sim berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program E50 bagi 2026 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.

Beliau berkata usaha itu seterusnya disambut program E50 Biz Matching yang akan membawa pembeli dari luar dan dalam negara untuk memperluas rantaian bekalan syarikat E50.

Beliau berkata keupayaan PMKS dalam menyesuaikan diri dengan peralihan pasaran serta peluasan aktiviti eksport ialah kunci untuk meningkatkan daya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru saya ingin melihat lebih ramai PMKS tempatan menembusi pasaran global, meningkatkan nilai jenama Malaysia selaras dengan inisiatif Made by Malaysia bagi memastikan PMKS kekal berdaya saing dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

“Saya berharap Anugerah E50 anjuran SME Corp Malaysia tahun ini dapat menyemarakkan semangat juang PMKS untuk mencipta kejayaan lebih besar,” katanya.

Pencalonan Anugerah E50 dibuka sehingga 31 Julai dengan majlis penganugerahan yang merupakan kemuncak Program E50 dijadualkan pada Oktober.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523348