DUNIA

Singapura Naikkan Kelayakan Gaji EP, Pas S Bermula 2027 - PM Wong

12/02/2026 09:36 PM

SINGAPURA, 12 Feb (Bernama) -- Singapura akan menaikkan  kelayakan gaji minimum bagi pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S bermula Januari 2027, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Wong, yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan perkara itu semasa pembentangan Penyata Belanjawan 2026.

Beliau berkata kelayakan gaji minimum bagi pekerja profesional asing baharu akan dinaikkan kepada S$6,000 daripada S$5,600, manakala ambang bagi sektor perkhidmatan kewangan akan meningkat kepada S$6,600 daripada S$6,200.

Menurut beliau, golongan profesional dan pekerja asing membantu memperkukuh negara, memindahkan pengetahuan serta membolehkan syarikat berkembang, yang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang yang lebih baik untuk rakyat Singapura.

“Pada masa yang sama, kami akan terus memastikan tenaga kerja asing ini melengkapi teras rakyat Singapura yang teguh,” katanya.

Perdana Menteri berkata kelayakan gaji bagi pemohon EP yang lebih berusia akan dinaikkan seiring dengan perubahan itu, manakala pelarasan bagi permohonan pembaharuan akan berkuat kuasa pada 2028 bagi memberi lebih masa kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri.

Selain itu, kerajaan akan menaikkan kelayakan gaji bagi pemegang Pas S daripada S$3,000 kepada S$3,600, manakala ambang bagi sektor kewangan akan meningkat daripada S$3,800 kepada S$4,000.

"Kelayakan gaji  bagi pemohon Pas S yang lebih berusia akan dinaikkan seiring dengan langkah itu, dengan permohonan pembaharuan akan terkesan setahun kemudian iaitu mulai 2028," kata Wong.

Sementara itu, Wong mengumumkan kerajaan akan melaraskan levi permit kerja -- bagi sektor marin dan proses, levi untuk pekerja berkemahiran asas masing-masing akan dinaikkan sebanyak S$100 dan S$150.

"Bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan, kami akan memudahkan struktur levi peringkat sedia ada dan butirannya terkandung dalam lampiran Penyata Belanjawan," kata beliau.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523387