AM

Pendaftaran NSC 2026 Dibuka, Tawar Piala Pusingan YAB Perdana Menteri

13/02/2026 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pendaftaran Pertandingan National Science Challenge (NSC) 2026 kini dibuka bermula 12 Feb hingga 1 April depan kepada pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 16 tahun di seluruh negara, dengan peluang membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri.

Menurut kenyataan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pertandingan yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) itu merupakan antara inisiatif utama bagi memperkukuh minat pelajar dalam mata pelajaran sains, dengan pendaftaran boleh dibuat menerusi laman sesawang nsc.my.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi tinggi, negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang inovatif serta berkeupayaan menyelesaikan masalah.

"Justeru NSC merupakan platform strategik untuk pelajar meneroka potensi diri, memupuk pemikiran saintifik dan menyumbang kepada pembinaan masa depan negara," menurut kenyataan itu.

NSC 2026 yang bertemakan 'Memantapkan Asas Sains untuk Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Inklusif' menggalakkan pelajar mengenal pasti cabaran sebenar dalam persekitaran mereka serta menggunakan pengetahuan STEM untuk menghasilkan penyelesaian yang praktikal, mampan dan inklusif, termasuk dalam mendepani isu seperti perubahan iklim, sekuriti makanan dan kesihatan awam.

Sementara itu, Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata kejayaan NSC bukan sahaja diukur melalui jumlah penyertaan, malah bagaimana pertandingan itu memberi inspirasi kepada pelajar untuk melihat sains sebagai alat perubahan masyarakat.

"ASM percaya bahawa sains harus dikaitkan dengan penyelesaian dunia sebenar. ASM ingin melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga berupaya mencipta impak kepada komuniti," katanya.

Bagi penyertaan NSC 2026, setiap sekolah digalakkan menghantar lebih daripada satu pasukan terdiri daripada tiga pelajar dan seorang guru mentor. 

Pertandingan akan bermula di peringkat awal dengan ujian pemahaman am meliputi biologi, fizik, kimia dan matematik sebelum lima pasukan terbaik setiap negeri mara ke peringkat negeri untuk menyelesaikan penyataan masalah melalui eksperimen yang menguji kemahiran proses sains dan komunikasi.

Sebanyak 16 pasukan yang mara ke separuh akhir akan mengikuti program Kem Sains secara hibrid selama sebulan dengan menampilkan pelbagai modul dan bimbingan mentor oleh para ahli akademik dan pakar industri, sebelum lima kumpulan terbaik dipilih ke peringkat akhir untuk dinilai menerusi kuiz sains dan pembentangan eksperimen diadili oleh panel hakim profesional.

Juara NSC 2026 bakal membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri, tajaan penuh lawatan sambil belajar ke luar negara, biasiswa pendidikan NSC serta hadiah lain manakala kesemua peserta turut akan menerima sijil penyertaan yang membawa markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat kebangsaan.

NSC 2026 mendapat sokongan rakan strategik termasuk daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Young Scientists Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM), Sasbadi Online Sdn Bhd dan e-estidotmy.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523532