PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini melepaskan sementara pendakwah selebriti Da’i Syed, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful yang sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan permohonan Syed Shah Iqmal, 31, untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu, yang perintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Jan 2026 sehingga rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu diputuskan Mahkamah Rayuan.
"Kami mendapati bahawa terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon dilepaskan atas jaminan sehingga rayuan pemohon di Mahkamah Rayuan ini diputuskan. Antara alasan-alasannya ialah kami mendapati pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi. Oleh itu, kami tidak melihat wujudnya risiko ketidakhadiran pemohon pada peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan nanti.
"Mahkamah juga mendapati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan melalui afidavit bahawa pemohon pernah melarikan diri atau menghilangkan diri daripada menghadiri prosiding pada peringkat Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi, selain mengambil kira ini adalah kesalahan pertama pemohon dan harus diberikan pertimbangan," kata Hakim Azmi yang membacakan keputusan sebulat suara itu.
Sehubungan dengan itu, Hakim Azmi berkata pemohon (Syed Shah Iqmal) dilepaskan sementara dengan wang jaminan RM40,000 beserta dua penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah, perlu melaporkan diri setiap bulan bermula Mac 2026 di balai polis Seksyen 6 Shah Alam, Selangor, sehingga rayuan diputuskan Mahkamah Rayuan.
"Sekiranya, ada pelanggaran pada mana-mana syarat tersebut, maka jaminan yang diberikan pada hari ini akan dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan ini," kata hakim Azmi.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Atiqah Abdul Karim, manakala peguam M. Athimulan, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bertindak bagi pihak Syed Shah Iqmal.
Syed Shah Iqmal memfailkan permohonan itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid pada 23 Jan 2026, menolak permohonannya untuk penggantungan pelaksanaan hukuman.
Terdahulu, Atiqah berhujah bahawa pihak pendakwaan membantah permohonan Syed Shah Iqmal, namun jika mahkamah membenarkan permohonan tersebut ia perlu beserta syarat-syarat tambahan lain.
Athimulan berhujah meskipun pemohon seorang selebriti, namun haknya untuk mendapat layanan yang sama rata mesti diiktiraf oleh mahkamah.
Syed Shah Iqmal yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang dibawa ke mahkamah dengan berpakaian lokap berwarna jingga. Turut kelihatan isterinya, Nurul Hana Ismail yang berada di galeri awam.
Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas kesalahan terbabit, dan Hakim Norazlin Othman memerintahkan bapa kepada dua cahaya mata itu menjalani hukuman serta-merta.
Bagaimanapun, pada 20 Sept 2024 Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pelaksanaan hukuman itu, yang telah berjalan selama 21 hari, ditangguhkan sehingga rayuan di mahkamah berkenaan selesai.
Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada 1.35 pagi 11 Sept 2019, mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.
-- BERNAMA