DUNIA

Festival Orkid Taman Botani Diraja Britain Berlangsung Sempena TBC 2026

13/02/2026 05:24 PM

LONDON, 13 Feb (Bernama-CMG) -- Festival Orkid Taman Kew Britain 2026 secara rasmi dibuka di sini pada Rabu.

Festival orkid yang akan berlangsung sehingga 8 Mac di taman botani diraja itu, bertepatan dengan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026, dan buat kali pertama menonjolkan unsur China dalam sejarah penganjurannya selama 30 tahun.

Ia bukan sahaja mempamerkan secara sistematik kepelbagaian biologi dan budaya tradisional China, tetapi juga memperlihatkan hasil kerjasama China-Britain dalam bidang sains tumbuhan sejak dahulu lagi, sehingga dilihat sebagai satu platform penting untuk pertukaran sosiobudaya dan kerjasama ekologi antara kedua-dua negara.

Di zon utama festival itu, terdapat satu 'naga' gergasi yang diperbuat daripada bahan tumbuhan, dengan dihiasi pelbagai imej di sekelilingnya seperti panda, burung phoenix dan bangau. Pameran bunga orkid terserlah di sebalik susunan tanglung dan ukiran patung yang rapi.

Pengarah Taman Kew, Richard Deverell menyatakan bahawa pihaknya memilih 'China' sebagai tema tahun ini adalah kerana China merupakan satu daripada negara terkaya dengan kepelbagaian biologi   di dunia, dan mempunyai budaya warisan yang cemerlang. "Alam dan Budaya" sudah dijadikan sebagai dua unsur utama yang ditekankan dalam pameran ini.

Duta China ke Britain, Zheng Zeguang berkata, dalam budaya tradisional China, kata 'orkid' yang selalu didapati dalam karya puisi Cina dianggap sebagai simbol integriti, ketabahan dan watak yang murni.

Beliau menambah, dengan berpandukan konsep "gunung hijau dan air jernih sama seperti gunung emas dan perak", China sekarang ini berada di landasan mempercepatkan transformasi rendah karbon dan memperkukuh pemeliharaan alam sekitar.

-- BERNAMA-CMG

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523698