POLITIK

Hamzah Zainudin Dipecat Daripada Bersatu

13/02/2026 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat daripada Bersatu berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan berkata Majlis Pimpinan Tertinggi dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin telah memutuskan bahawa Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana tindakan Ahli Parlimen Larut tersebut melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti berkenaan.

Hamzah menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Bersatu dalam pemilihan parti itu bagi 2024–2027 selepas tiada pihak yang mencabarnya pada Oktober 2024.

Bersatu dilanda krisis dalaman yang menyaksikan perpecahan antara kem Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Hamzah yang masing-masing dilaporkan mendesak pengunduran satu sama lain.

Konflik itu memuncak selepas Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, sekali gus membuka ruang kepada pertempuran kuasa dalaman yang jelas terbahagi kepada dua kem utama.

Pada November tahun lepas, Hamzah dilaporkan berkata Muhyiddin akan menyerahkan jawatan presiden parti apabila beliau bersedia.

Pergolakan dalaman Bersatu sejak kebelakangan ini dilaporkan berhubung usaha untuk meletakkan Hamzah sebagai presiden parti.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dipecat daripada parti kerana didakwa terbabit dalam isu itu dan mengeluarkan rakaman audio prosiding lembaga disiplin Bersatu terhadapnya pada 3 Nov sebagai bukti yang kononnya menyokong dakwaan bahawa Hamzah menjadi sasaran yang sebenar.

Semalam, media melaporkan, 17 ketua bahagian Bersatu dan kepimpinan parti itu di Johor mendesak supaya Hamzah dipecat daripada jawatan serta keanggotaannya dalam parti.

Hari ini pula, sebanyak 16 Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan terhadap gesaan Ketua Whip Dewan Rakyat Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Presiden parti itu dengan segera.

Sementara itu, Lembaga Disiplin yang bersidang semalam memutuskan untuk turut memecat lima lagi ahlinya, iaitu Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Yunus Nurdin, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan dan Ketua Bahagian Bersatu Larut Mohd Hassundi Hamzah, berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan notis pemecatan bertarikh hari ini, keputusan itu dilakukan di bawah Fasal 22.5 kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, bagaimanapun mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Wan Ahmad Fayhsal, yang sebelum ini digantung keahliannya, serta Azahari dan Fathul Huzir adalah antara 16 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap gesaan Kiandee supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Presiden parti itu dengan segera hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu Harris Idaham Rashid dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menghormati keputusan Lembaga Disiplin serta menegaskan setiap ahli wajib memelihara disiplin dalaman parti.

“Ini menunjukkan Bersatu tidak pernah berkompromi terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang secara jelas melanggar Perlembagaan dan tatakelakuan sebagai ahli,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2523705