IPOH, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan hampir RM2.1 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih pasar awam, taman rekreasi dan medan selera di Jelapang di sini, serta sistem perparitan dan longkang di Pusing, Batu Gajah.
Menterinya Nga Kor Ming berkata peruntukan yang akan disalurkan menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) itu juga untuk menaik taraf kemudahan awam bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Beliau berkata perinciannya pula adalah untuk Jelapang sahaja RM1 juta bagi Pasar Awam Jelapang, Taman MADANI (RM450,000), Medan Selera MADANI (RM428,000), manakala sistem longkang dan perparitan di Pusing ( RM200,000).
“Malam ini kita datang dengan sentuhan kasih istimewa Kerajaan MADANI, (hampir) RM 2.1 juta diluluskan dan kerja akan bermula dan habis tahun ini juga,” katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelapang di sini malam ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Batu Gajah Dr V. Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Cheah Pou Hian.
Sementara itu, KPKT dalam kenyataan memaklumkan penyelenggaraan dan penaiktarafan kemudahan awam, khususnya pasar, taman rekreasi dan medan selera yang menjadi nadi komuniti setempat akan terus diberi keutamaan.
-- BERNAMA