JENAYAH & MAHKAMAH

Terengganu Perintis Pendigitalan Pengurusan Guaman Syarie

15/02/2026 07:26 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini melancarkan Sistem Pengurusan Peguam Syarie sebagai platform rasmi urusan permohonan pendaftaran sebagai peguam syarie serta pembaharuan Sijil Amalan Guaman Syarie di negeri ini, kata Yang Dipertua MAIDAM Datuk Zulkifli Ali.

"Sebelum ini, semua permohonan dibuat secara manual melalui penghantaran borang kepada MAIDAM. Susulan itu, Sistem Pengurusan Peguam Syarie yang dibangunkan sepenuhnya secara dalam talian tersebut memudahkan serta melancarkan urusan permohonan menjadi Peguam Syarie serta pembaharuan sijil amalan guaman syarie di Terengganu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Negeri Terengganu 2026 dan Penyampaian Sijil Amalan Peguam Syarie Negeri Terengganu di sini hari ini.

Zulkifli berkata sistem itu yang pertama seumpamanya diperkenalkan dan diguna pakai di Malaysia sekali gus meletakkan Terengganu sebagai perintis dalam pendigitalan pengurusan guaman syarie.

Menerusi sistem itu katanya individu boleh membuat permohonan, menyemak status, mendapatkan keputusan temu duga serta mengakses maklumat berkaitan pentauliahan dan pengisytiharan masuk sebagai peguam syarie di negeri ini.

"Pelaksanaan sistem berkenaan bukan sahaja mempercepat proses kerja malah memperkenalkan kaedah pengurusan tanpa kertas yang lebih sistematik dan efisien.

"Ia turut menjimatkan penggunaan kertas, tenaga kerja dan kos pentadbiran jabatan, selain menyokong amalan tadbir urus mampan serta memelihara alam sekitar," katanya.

Sehubungan itu, katanya pelaksanaan sistem berkenaan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh tadbir urus perundangan syariah serta menjadi penanda aras pada negeri lain dalam usaha pendigitalan perkhidmatan berkaitan guaman syarie.

Majlis anjuran MAIDAM dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) itu sebagai simbolik permulaan tahun baharu badan kehakiman dan profesion undang-undang syariah di negeri ini.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan menegaskan komitmen berterusan institusi kehakiman syariah negeri dalam memperkukuh integriti, tadbir urus serta penyampaian keadilan yang telus dan berwibawa.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2524459