IPOH, 18 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Perak semakin berkurangan kepada tujuh orang daripada tiga keluarga petang ini berbanding 11 orang daripada lima keluarga pagi tadi.
Kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi di sini sejak semalam.
"Kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein yang terjejas akibat bencana itu," menurut kenyataan itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan berlaku ribut dan hujan pada sebelah petang serta malam di lapan daerah iaitu Hilir Perak, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang, Muallim dan Perak Tengah.
-- BERNAMA