JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Tumpas Dua Sindiket, Rampas Pelbagai Jenis Dadah Bernilai RM21 Juta

19/02/2026 05:05 PM

SHAH ALAM, 19 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dalam operasi berasingan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan nilai rampasan keseluruhan RM21 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam Ops Tapis pada 12 Feb lepas, JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam menahan dua lelaki dan seorang wanita masing-masing warga Indonesia berusia antara 26 hingga 53 tahun di sekitar Sekinchan.

“Serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Sungai Leman, Skinchan, membawa kepada penahanan tiga suspek serta rampasan 11.36 gram methamphetamine dengan dua daripada suspek didapati positif methamphetamine. 

“Serbuan kedua ke atas sebuah bot tanpa nombor di jeti ikan Sekinchan dan merampas 158.6 kilogram (kg) methamphetamine, 10.89 kg ekstasi dan 2,000 kartrij berisi MDMA seberat lima kg, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12.6 juta,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Llama Cal.38 Super bersama satu kelopak berisi empat butir peluru dan 45 butir peluru lain.

“Suspek pertama berperanan sebagai koordinator laut dan darat, suspek kedua merupakan runner dan boat man manakala suspek ketiga adalah isteri suspek pertama,” katanya. 

Hussein berkata sindiket yang aktif sejak awal 2021 itu dipercayai menggunakan bot pancung untuk menyeludup dadah ke Indonesia.

Mengulas lanjut, Hussein berkata dua lelaki warga Indonesia terbabit telah lama menetap di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, manakala suspek wanita pula baru tiba kira-kira sebulan lepas dengan dokumen sah dan mendakwa bekerja sebagai nelayan.

Ditanya sama ada pistol yang dirampas pernah digunakan, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan pihak forensik namun polis percaya suspek bersedia menggunakan senjata api sekiranya diancam pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di bawah Ops Bena, JSJN Bukit Aman menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 27 hingga 37 tahun menerusi empat serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Suspek pertama dan kedua berperanan sebagai runner, manakala suspek ketiga sebagai ahli sindiket, suspek keempat pula ketua sindiket, sementara suspek kelima merupakan kekasih suspek keempat dan seorang daripada suspek didapati positif methamphetamine, amphetamine dan ketamine,” katanya.

Hussein berkata serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom merampas 138 kg methamphetamine daripada dua kenderaan, manakala serbuan di Jalan Choo Cheng Khay menemukan pelbagai jenis dadah termasuk MDMA, heroin, ganja, ekstasi dan Erimin 5.

Beliau berkata nilai rampasan bagi Ops Bena dianggarkan RM8.4 juta dan sindiket yang aktif sejak Julai 2025 itu menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah di lokasi tertentu sebelum diambil pembeli.

Ditanya mengenai sumber dadah bagi Ops Bena, beliau berkata berdasarkan bungkusan yang dirampas, pihaknya percaya bekalan diperoleh dari negara di utara tanah air. 

Beliau berkata kumpulan itu merupakan sindiket yang aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan turut terlibat dalam kegiatan gangsterisme.

Ketika ditanya sama ada Ops Bena mempunyai kaitan dengan kumpulan geng tertentu termasuk “geng praba”, beliau berkata pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sebarang hubungan dengan kumpulan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hussein berkata kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam, sambil menegaskan PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan pengedaran dadah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525503