AM

Projek Solidariti Wakaf Sejuta Al-quran Hampir Capai Sasaran

20/02/2026 12:00 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

 PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Projek Solidariti Wakaf Sejuta al-Quran yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023, kini menghampiri sasaran apabila sebanyak 700,000 naskhah telah dicetak, manakala baki 300,000 lagi dalam proses penerbitan dan dijangka siap tiga hingga empat bulan lagi.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa berkata setakat ini lebih 500,000 naskhah telah diedarkan dalam dan luar negara termasuk ke benua Afrika, sebagai sebahagian daripada gerakan wakaf rakyat bagi memperluas dakwah serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat al-Quran dunia.

"Inisiatif ini membawa impak besar kepada Malaysia sendiri dan kepada Perdana Menteri, beliau menjadi duta al-Quran seluruh dunia.

"Kita berterusan mencetak dan sekarang ini hampir setiap bulan, satu atau dua kontena kita hantar ke seluruh dunia," katanya kepada Bernama.

Pada Jan 2023, Perdana Menteri dilaporkan berkata Malaysia akan mencetak satu juta al-Quran untuk diedarkan di seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam itu di Sweden.

Anwar berkata pendekatan itu lebih berfaedah sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata Malaysia kini menjadi antara negara utama dalam menerbitkan naskhah al-Quran dalam pelbagai bahasa.

"Sekarang kita sudah ada 30 bahasa dan Perdana Menteri telah meluluskan untuk menambah 20 hingga 30 lagi bahasa secara berterusan.

"Tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya 12 bahasa baharu akan disiapkan termasuk dari rantau ASEAN, iaitu bahasa Vietnam, Thailand, Laos dan Iban selain bahasa Urdu, Rusia dan lain-lain lagi," katanya.

Setakat ini, Yayasan Restu telah menterjemah al-Quran ke dalam bahasa Melayu, Inggeris, Khmer, Tagalog, Sepanyol Eropah, Sepanyol Latin, Perancis, Itali, Swahili (Afrika), Hausa (Nigeria), Portugis, Denmark, Sweden, Jerman, Mandarin, Hindi, Tamil, Malayalam, Bosnia dan Myanmar.

Abdul Latiff berkata kira-kira 100 orang terlibat dalam proses terjemahan dan menghias al-Quran, dengan kerjasama institusi dari Turkiye, Arab Saudi dan negara lain, selain pemantauan ketat mengikut kaedah Rasm Uthmani yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri.

"Proses satu bahasa mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan. Kita bekerjasama dengan pakar dari luar negara seperti Turki dan Arab Saudi bagi memastikan terjemahan adalah muktabar dan mengikut akidah Ahli Sunnah Waljamaah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latiff berkata Yayasan Restu sedang menyiapkan Mushaf Malaysia MADANI yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri pada Ramadan ini.

Beliau berkata Mushaf Malaysia MADANI tersebut, yang mengambil masa lima tahun untuk disalin semula secara manual, bakal menggabungkan elemen fizikal dan teknologi digital melalui penggunaan kod QR.

"Bentuknya (seperti) al-Quran biasa tetapi menggunakan aplikasi kod QR. Pembaca boleh mendengar bacaan, terjemahan dalam pelbagai bahasa dunia, serta rujukan tajwid melalui telefon pintar.

“Ini adalah gabungan seni khat Jawi Melayu yang cantik dengan teknologi moden," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525682