KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur menggerakkan pegawai penguat kuasanya dalam Ops Pantau bagi memastikan pematuhan harga dan membanteras aktiviti pencatutan sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata operasi itu melibatkan pemantauan di semua bazar Ramadan di sini dan pemeriksaan bertumpu pada paparan tanda harga, pematuhan sukatan serta penggunaan alat timbang yang telah ditentusahkan.
Beliau berkata peniaga boleh berdepan tindakan kompaun sekiranya melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011
"Kita mahu memastikan tiada peniaga yang menjual secara berlebihan atau mencatut selain tanda harga dipamerkan dengan jelas bagi mengelakkan kekeliruan pengguna atau sebarang cubaan mengambil kesempatan seperti perbezaan harga antara peniaga.
"Selain itu, kita juga nak memastikan semua alat timbang dan sukat yang digunakan telah ditentusahkan memandangkan terdapat kes peniaga memanipulasi penimbang," katanya selepas pemantauan di Bazar Ramadan RAHMAH di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Ops Pantau bermula semalam hingga 20 Mac bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal terkawal.
Operasi melibatkan premis peruncitan, pasar tani, pasar malam, pasar tamu, pasar raya dan bazar serta penjualan dalam talian.
-- BERNAMA