PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Lebih Rendah

20/02/2026 09:00 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah hari ini, dipengaruhi oleh aliran bercampur-campur dalam niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga. 

Beliau berkata sentimen pasaran turut tertekan dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih perlahan dan peningkatan kebimbangan mengenai konflik AS-Iran. 

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan dalam harga minyak mentah dan tinjauan positif Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) terhadap permintaan global bagi getah asli, memandangkan musim daun pokok getah luruh di negara pengeluar semakin menghampiri dari Februari hingga Mei,” katanya kepada Bernama. 

Memetik ANRPC, beliau berkata permintaan getah asli global akan melepasi bekalan bagi tahun keenam berturut-turut pada 2026, dengan pengeluaran diunjurkan meningkat 2.4 peratus kepada 15.2 juta tan selepas kenaikan 1.4 peratus pada 2025. 

Beliau menambah asas pasaran getah dijangka kekal kukuh pada 2026, menyokong harga, dibantu oleh tempoh pengeluaran rendah bermusim dari Februari hingga Mei, disusuli oleh kemuncak penuaian sehingga September. 

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 turun lapan sen kepada 762.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat dua sen kepada 585.5 sen sekilogram. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2525909