Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Nuansa Zapin 4.0 mencipta kelainan apabila mempersembahkan 24 jenis zapin Johor yang telah disahkan pewarisnya, sekali gus menonjolkan kekayaan ragam seni tari tradisional itu di atas pentas di ibu negara baru-baru ini.
Pengarah Artistik dan Koreografer Khairul Azhar Mohtar berkata kepelbagaian zapin jarang disedari masyarakat meskipun tarian itu antara yang dominan dalam seni tari Melayu.
Beliau berkata kesemua 24 jenis zapin Johor itu yang disahkan melalui usaha Nusantara Performing Arts Research Centre (NusPARC), dipersembahkan dalam rangkaian 13 lagu.
pic-2
“Nuansa itu sendiri bermaksud perbezaan yang halus. Walaupun namanya zapin, ragamnya berbeza-beza dan itulah yang ingin ditonjolkan,” katanya kepada Bernama selepas persembahan itu, di sini baru-baru ini.
Antara zapin yang dipersembahkan ialah Zapin Lapis Batu Putih, Zapin Pulau Tioman, Zapin Pulau Aur, Zapin Putar Lam, Zapin Padang Sari, Zapin Parit Sakai, Zapin Ginjat, Zapin Mahpom dan Zapin Seri Bunian dengan masing-masing membawa ragam gerak tersendiri.
Persembahan yang menampilkan 50 penari itu turut melibatkan penyertaan golongan pelbagai peringkat usia termasuk wanita berumur 40 hingga 50 tahun, mencerminkan sifat inklusif seni zapin yang boleh digiatkan oleh semua lapisan masyarakat.
pic-3
“Saya berharap Nuansa Zapin dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan diperluaskan kepada skala lebih besar supaya zapin terus dikenali generasi akan datang,” katanya, menambah tujuan seni zapin diangkat ke pentas profesional agar potensinya sebagai seni warisan yang relevan dapat ditonton oleh masyarakat lebih luas.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif NusPARC Prof Dr Mohd Anis Md Nor menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai inisiatif penting yang menggabungkan kepakaran seniman dan ahli akademik dalam usaha memastikan ketepatan fakta serta kelangsungan warisan zapin.
“Penglibatan penggiat seni dalam program itu bukan sekadar membuat persembahan, tetapi bertujuan memahami makna dan nilai warisan zapin, selain membuka ruang perkongsian ilmu secara langsung antara seniman dan penyelidik,” katanya.
pic-4
Mohd Anis yang menjalankan penyelidikan zapin Johor lebih 40 tahun, berkata selain 24 varian zapin Johor yang telah disahkan oleh keluarga pewaris, ada enam lagi jenis yang dikenal pasti tetapi belum dapat disahkan berikutan ketiadaan pewaris.
“Proses pengabsahan ini bermula sekitar 2021 selepas pandemik COVID-19 dengan usaha lapangan yang panjang, kerana setiap zapin perlu disahkan nasab keluarganya bagi memastikan keaslian warisan,” katanya.
Beliau juga berkata hasil penyelidikan tersebut dalam proses dokumentasi menerusi penerbitan sebuah buku tentang zapin Johor yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini.
pic-5
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Anis berkata usaha sedang dijalankan untuk mencalonkan zapin sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui kerjasama Malaysia dan Indonesia, dengan proses di Malaysia diterajui Yayasan Warisan Johor.
Sementara itu, penonton yang ditemui Bernama, Norhazian Mat Sapiam, 62, dari Bangi, Selangor mengakui meminati tarian tradisional seperti zapin, asli, inang dan joget serta hadir menonton sebagai tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan seni warisan.
“Sekarang ramai kanak-kanak menyertai kelas asas tarian dan ibu bapa semakin sedar kita perlu menjaga budaya ini agar terus dihargai dan kekal relevan,” katanya.
-- BERNAMA