DUNIA

Import Tenaga AS Tampung Jurang Bekalan Domestik Indonesia - Pertamina

21/02/2026 01:19 PM

JAKARTA, 21 Feb (Bernama) -- Import tenaga daripada Amerika Syarikat (AS) kekal diperlukan untuk menampung jurang bekalan domestik Indonesia berikutan penurunan pengeluaran semula jadi, kata Pengarah Utama Pertamina (Persero) Simon Aloysius Mantiri.

Beliau berkata skim import ini berfungsi sebagai langkah peralihan ke arah mencapai kemandirian tenaga negara.

“Skim import ini adalah langkah penyelesaian kita ke arah kemerdekaan tenaga. Untuk menampung jurang sedia ada, kita masih memerlukan import,” katanya semasa sidang media secara maya dari Washington, menurut Agensi Berita ANTARA, malam Jumaat.

Pada Khamis (19 Feb), Indonesia dan AS menandatangani perkara utama dalam perjanjian tarif timbal balas, yang termasuk komitmen Indonesia untuk membeli komoditi tenaga AS bernilai US$15 bilion (anggaran RM253.3 bilion).

Nilai tersebut merangkumi gas petroleum cecair (LPG) bernilai US$3.5 bilion, minyak mentah bernilai US$4.5 bilion dan produk bahan api bertapis bernilai US$7 bilion.

Simon berkata Pertamina, sebagai syarikat minyak dan gas nasional, bersama Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, SKK Migas dan semua kontraktor perkongsian pengeluaran (K3S), terus berusaha meningkatkan pengeluaran minyak dan gas.

Namun, beliau menekankan bahawa penurunan pengeluaran semula jadi menjadikan import sebagai pilihan strategik.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia, dalam sidang media yang sama, menjelaskan bahawa perjanjian perdagangan bernilai US$15 bilion itu tidak meningkatkan jumlah import tenaga Indonesia secara keseluruhan, sebaliknya hanya mengagihkan semula kuota import sedia ada daripada wilayah lain.

Beliau berkata sebahagian kuota yang sebelum ini diperoleh daripada Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika akan dialihkan ke AS.

Di pihaknya, Simon memberi jaminan bahawa perjanjian tenaga bernilai US$15 bilion itu akan dilaksanakan secara telus dan selaras dengan peraturan semasa di kedua-dua negara.

Beliau menambah bahawa perjanjian itu adalah sebahagian daripada strategi kepelbagaian bekalan tenaga Indonesia yang lebih luas untuk memastikan harga kompetitif bagi minyak mentah dan produk bertapis.

Susulan pemeteraian perjanjian itu, Simon berkata Pertamina menunggu pemuktamadan dalam tempoh 90 hari akan datang, dengan semua prosedur dijalankan mengikut keperluan peraturan dan disokong oleh kelulusan kerajaan serta pengaturan teknikal yang diperlukan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2526029