KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kongres khas DAP pada 12 Julai depan adalah sebahagian daripada proses dalaman parti itu untuk memastikan ketetapan organisasi dipatuhi, kata jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata DAP telah memaklumkan lebih awal tentang penganjuran kongres berkenaan.
“Ini adalah proses dalaman bagi DAP untuk pastikan keputusan yang dicapai dituruti dalam parti mereka. Jadi, itu adalah proses bagi DAP dalam membuat keputusan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall di sini hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.
Loke turut memaklumkan bahawa 40 Ahli Parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Sementara itu, Fahmi berkata fokus utama kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini adalah memperkukuh ekonomi negara dan mempertingkat reformasi institusi.
Ia termasuk usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri yang dijadual dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
“Hasrat kita adalah untuk pastikan Malaysia berada di kedudukan yang terbaik pada tahun ini, insya-Allah.
"Jadi, saya percaya usaha Kerajaan MADANI ini berada di landasan yang tepat dan semua parti komponen memahami usaha dan ikhtiar, termasuk rakan-rakan daripada DAP,” katanya.
-- BERNAMA