JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Tolak Permohonan Ketepikan Keterangan Peguam Kes Wasiat Goh Tong

03/03/2026 06:34 PM

KUALA LUMPUR,  3 Mac (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan cucu mendiang taikun Kumpulan Genting Tan Sri Lim Goh Tong, bagi memadam sebahagian kandungan penyataan saksi peguam Datuk Low Beng Choo yang menyediakan wasiat terakhir ibu mereka pada 2022.

Hakim Mahazan Mat Taib dalam penghakimannya berkata dengan menggunakan Seksyen 60 Akta Keterangan 1950 dan prinsip-prinsip pentadbiran mengenai keterangan dengar cakap,  mahkamah mendapati sebahagian besar bukti yang dipertikaikan tidak tergolong sebagai keterangan dengar cakap dalam undang-undang.

“Oleh itu, permohonan plaintif untuk memadamkan sebahagian daripada kenyataan saksi defendan keempat (Low) dalam lampiran 186 dan 479 ditolak. Sebarang bantahan khusus terhadap jawapan atau dokumen tertentu boleh dibangkitkan semasa perbicaraan dan akan diputuskan mengikut konteks,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada defendan.

Antara kandungan penyataan saksi Low yang ingin dipadam oleh peguam Datuk V Sithambaram adalah berkaitan bagaimana beberapa pindaan dalam wasiat 2021 dibuat dan didakwa atas arahan Lim Siew Kim untuk mengurangkan pemberian wang tunai kepada dua anak perempuannya.

Pemberian itu didakwa dikurangkan daripada RM10 juta kepada RM900,000 bagi Chan T’shuai Li, 48, dan daripada RM10  juta kepada RM100,000 bagi Kimberly Chan T’shiao Miin, 45.

Mahazan berkata penghakiman ini hanya membabitkan isu asas mengenai kebolehterimaan bukti sahaja.

“Penolakan mahkamah untuk mengecualikan bukti tidak bermakna mahkamah menerima kebenarannya, dan ia juga bukan suatu penghakiman terhadap merit kes. Semua isu berkaitan kredibiliti, kebolehpercayaan dan nilai bukti kekal terbuka untuk ditentukan pada peringkat penentuan akhir perbicaraan,” katanya.

Hakim berkata peraturan keterangan dengar cakap tidak terpakai untuk mengecualikan bukti mengenai niat wasiat yang diberikan peguam yang menerima arahan tersebut dan bertindak atasnya. Kebolehterimaan bukti sedemikian berpandukan Seksyen 60 Akta Keterangan 1950 serta struktur bukti dalam litigasi probet (perbicaraan atau kes berkaitan pengesahan wasiat).

“Sebarang kenyataan pihak ketiga yang benar-benar tidak menyenangkan boleh ditangani secara khusus dan dalam konteksnya. Namun, sebahagian besar bukti yang dipertikaikan tidak seharusnya dikecualikan pada peringkat ini,” katanya.

Prosiding hari ini dikendalikan peguam Sithambaram yang mewakili T’shiao Li dan T’shiao Miin manakala peguam Rishwant Singh mewakili Malcolm Fernandez selaku pelaksana dan pemegang amanah; peguam Ong Kheng Leong bagi pihak seorang lagi pelaksana dan pemegang amanah Chan Mei Yee; peguam Goik Kenwayne dan Foong Kar Yee mewakili anak lelaki Siew Kim, Marcus Chan Jau Chwen dan peguam S Sivaneindran mewakili Low.

Pada 23 Feb lepas, Low ketika memberi keterangan mengesahkan bahawa Siew Kim menandatangani wasiat terakhirnya pada 28 April 2022.

Siew Kim, 73, anak ketiga pengasas Kumpulan Genting itu meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 dengan meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Dalam tuntutan itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa wasiat terakhir yang didakwa dilaksanakan si mati pada 24 April 2022 serta wasiat pertama dan kedua yang masing-masing didakwa dilaksanakan pada 2 Nov 20221 dan 11 April 2022 adalah terbatal dan tidak sah.

Plaintif turut memohon pengisytiharan bahawa ibu mereka meninggal dunia tanpa wasiat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2529971