SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Perbuatan kejam seorang lelaki menyepak dan mencampak seekor anak kucing sehingga mati yang videonya tular tahun lepas, menerima padah apabila diperintah menjalani hukuman penjara 22 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas gagal membayar denda RM60,000.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Daniel Hakim Abdullah, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mohd Daniel yang bekerja sebagai mekanik didakwa dengan kejam menyepak dan mencampak seekor anak kucing berwarna putih sehingga menyebabkan kematian haiwan itu di sebuah pangsapuri di Seksyen U16, di sini antara 4.50 pagi hingga 5 pagi, 3 Okt 2025.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh terjumpa dua ekor anak kucing berwarna hitam dan putih di hadapan rumahnya, memasukkan kedua-duanya ke dalam sebuah beg dan dibawa ke hadapan rumah jirannya, sebelum dikeluarkan semula dan menyepak kedua-dua anak kucing tersebut.
Perbuatan itu direkodkan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi OKS mencampak dan menyepak anak kucing tersebut dan tular di pelbagai platform media sosial.
Bertindak atas aduan, sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan Negeri Selangor tiba di lokasi kejadian pada 9.15 malam hari yang sama dan hasil pemeriksaan menemui seekor anak kucing warna putih yang telah mati dan ditanam.
Pada 9 Okt 2025, hasil bedah siasat terhadap anak kucing itu mendapati terdapat kesan retak pada tengkorak kepala dan pendarahan pada paru-paru dengan kesan patah pada tulang rusuk, manakala punca kematian dikenal pasti daripada kegagalan sistem pernafasan.
OKS dituduh mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Peguam Amirah Badriyah Azahar yang mewakili tertuduh merayu hukuman pemenjaraan kurang satu tahun kerana anak guamnya tidak mampu membayar sebarang denda kerana mempunyai pendapatan sekitar RM1,700 sebulan serta perlu menanggung seorang isteri dan seorang anak berusia tujuh bulan.
Amirah Badriyah berkata anak guamnya juga menyara bapa berusia 76 tahun dan kini sedang tenat selain Mohd Daniel juga mempunyai penyakit darah tinggi serta migran yang kronik.
“Terdapat tiga hingga empat ekor kucing tidak bertuan selalu buang najis di hadapan rumahnya, malah OKS selalu membersihkan najis berkenaan ke bawah sehingga dimarahi jiran, selain membuat aduan kepada pihak pengurusan pangsapuri tetapi tidak ada sebarang tindakan.
“Keadaan itu menyebabkan OKS mengalami tekanan berlanjutan dan hilang pertimbangan serta dengan perasaan emosi dan marah mencampak dan menyepak anak kucing tersebut,” katanya yang turut memaklumkan anak guamnya kini menyesal atas perbuatan tersebut.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Mohd Sharif Sabran memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat agar tidak menzalimi mana-mana haiwan serta melihat keseriusan kes kerana anak kucing yang menjadi mangsa itu telah mati.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM60,000 terhadap tertuduh dan dipenjara 22 bulan jika gagal dibayar.
-- BERNAMA