KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan telah merangka strategi perdagangan yang pelbagai bagi memastikan kestabilan ekonomi negara tidak terjejas atau ditekan oleh pengaruh luar susulan ketegasan negara dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pendekatan itu diambil kerana Malaysia perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan bagi mendepani risiko tekanan ekonomi dan politik berikutan lantang mengangkat isu kemanusiaan di Palestin.
“Kami akan memastikan peranan Wisma Putra untuk pastikan hubungan (diplomatik kukuh) dengan negara-negara lain (imbangi sebarang tekanan). Kami juga mempunyai strategi perdagangan yang sangat baik,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman menerusi soalan tambahan menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya usaha melemahkan ekonomi dan politik negara berikutan kelantangan Malaysia terhadap konflik berlaku di Tebing Barat dan Gaza.
Mohammad Redzuan turut memberikan contoh situasi yang dihadapi Turkiye apabila nilai mata wang Lira mengalami kejatuhan drastik berbanding Ringgit dalam tempoh sedekad ekoran tindakan dan pendirian tegas negara itu dalam isu Palestin.
Menjawab perkara itu, Lukanisman turut menekankan bahawa kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku figura yang sangat dihormati pemimpin dunia dan mempunyai pengaruh meluas di peringkat global menjadi aset penting dalam mengukuhkan kedudukan diplomasi ekonomi Malaysia.
Beliau berkata Kementerian Luar (KLN) akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi memantau dan melindungi kepentingan ekonomi negara daripada sebarang cubaan sabotaj atau sekatan luar.
Selain itu, Lukanisman turut menegaskan Malaysia tidak akan menyertai inisiatif tertentu yang diterajui oleh pihak luar seperti Lembaga Keamanan kerana beranggapan pelaksanaannya tidak menangani punca konflik serta isu pendudukan haram Israel di wilayah Palestin.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan KLN kini memantau rapi keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang sedang berdepan pergolakan susulan peningkatan ketegangan di Timur Tengah.
Lukanisman berkata satu kenyataan rasmi mengenai perkembangan terkini dan langkah-langkah keselamatan akan dikeluarkan oleh KLN dalam tempoh terdekat, di samping memberi jaminan kerajaan akan terus memperkukuh tekanan diplomatik kolektif melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan rakan antarabangsa.
Menjawab soalan asal berhubung langkah diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa berhubung isu kemanusiaan di Palestin meskipun gencatan senjata telah dipersetujui pada Oktober lepas, Lukanisman berkata kerajaan terus melaksanakan pendekatan diplomatik secara aktif di pelbagai peringkat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan OIC bagi mendesak gencatan senjata yang kekal dan menyeluruh.
-- BERNAMA