JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Tumpas Kegiatan Simpan Rokok, Minuman Keras Di Sibu

04/03/2026 02:19 PM

SIBU, 4 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu menumpaskan kegiatan penyimpanan rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM1.36 juta dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Jalan Teku Lama di sini pada 10 Feb.

Pengarah JKDM Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata serbuan pada 9.20 pagi oleh pasukan Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sibu dijalankan hasil maklumat Zon Risikan Sarawak. 

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1.56 juta batang rokok dan 1,591.92 liter minuman keras disyaki tidak berkastam disimpan di premis itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata nilai rampasan dianggarkan RM243,551.52 manakala duti import serta cukai sebanyak RM1,112,773.27.

Norizan berkata modus operandi sindiket dipercayai menggunakan rumah kosong bagi mengelakkan perbuatan itu dikesan pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang tidak berkastam.

JKDM menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau di pejabat kastam berhampiran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2530207