DUNIA

Malaysia, Tajikistan Perkukuh Hubungan Dua Hala Melalui Perjanjian Bersejarah Pembangunan Kapasiti Statistik 

07/03/2026 12:44 AM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Tajikistan hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pembangunan kapasiti statistik bagi memperkukuh Sistem Statistik Kebangsaan kedua-dua negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan memorandum itu mewujudkan kerangka kerjasama selama lima tahun yang berkuat kuasa mulai tarikh pemeteraian. 

Menurut DOSM, MoU itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua kerajaan untuk memperkukuh dan memodenkan Sistem Statistik Kebangsaan masing-masing selaras dengan piawaian statistik antarabangsa serta permintaan ekosistem data global yang kian berkembang.

Majlis pemeteraian MoU itu telah diadakan pada Rabu lepas di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bersempena dengan Sesi Suruhanjaya Statistik PBB ke-57 (UNSC57).

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pengarah Agensi Statistik di bawah Presiden Republik Tajikistan Nurmahmadzoda Jamshed.

DOSM juga memaklumkan kerjasama itu akan menggalakkan pemindahan pengetahuan, pelaksanaan inisiatif pembinaan kapasiti, pertukaran teknikal serta pelbagai aktiviti kolaboratif dalam bidang kepentingan bersama termasuk metodologi statistik, integrasi data, transformasi digital, peningkatan kualiti statistik dan pemantapan institusi. 

Melalui kerjasama ini, kedua-dua negara menyasarkan untuk memperkukuh modal insan dan daya tahan institusi bagi menyokong pengeluaran statistik yang mampan dalam persekitaran data yang semakin kompleks.

Melalui MoU ini, Malaysia dan Tajikistan akan memperkukuh pembangunan modal insan, kepakaran teknikal dan kapasiti institusi dalam bidang seperti transformasi digital, analisis statistik berdayakan kecerdasan buatan, integrasi data raya, inovasi metodologi dan sistem penyebaran data moden.

Sementara itu, Dr Mohd Uzir berkata Sistem Statistik Negara yang kukuh dan berdaya tahan merupakan tonggak utama tadbir urus yang baik.

“Melalui perkongsian ini, Malaysia mengesahkan komitmennya untuk berkongsi kepakaran, memperkukuh modal insan dan mempertingkat keupayaan institusi untuk memastikan statistik rasmi kekal boleh dipercayai, relevan dan responsif terhadap cabaran dasar kontemporari.

“Kolaborasi antara Pejabat Statistik Negara turut meningkatkan kapasiti kolektif dalam menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti serta memacu pembangunan mampan di peringkat nasional dan global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2531352