AM

PM Anwar Pengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kulim

07/03/2026 09:58 PM

KULIM, 7 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kulim yang diadakan di Majlis Perbandaran Kulim, di sini.

Perdana Menteri tiba di bangunan pihak berkuasa tempatan itu pada 4.10 petang dan disambut oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali.

Difahamkan, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah untuk mengenal pasti keperluan mendesak pada peringkat daerah, iaitu isu pelaksanaan projek, projek tertangguh serta memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

Turut disentuh ialah penambahbaikan bilik darjah sekolah-sekolah di daerah ini bagi memastikan kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun berjalan lancar.

Selain itu, perkara lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu termasuklah pembinaan jalan raya, projek tebatan banjir serta pembinaan loji rawatan air.

Pada mesyuarat itu, Perdana Menteri juga difahamkan turut menegaskan agar pelaksanaan pembangunan pada peringkat daerah tidak sekadar mengikut birokrasi lama dan mahu proses dipercepat selagi tidak melanggar tatacara kewangan serta peraturan.

Sementara itu, Anwar dalam hantaran di Facebook berkata projek berkepentingan rakyat seperti penambahan bilik darjah bagi persediaan kemasukan murid tahun satu serta pembaikan sekolah daif mesti disegerakan tanpa terikat dengan kerenah birokrasi yang sering melambatkan tindakan.

Beliau berkata perkara itu ditegaskannya kepada pegawai daerah dan pasukan mereka agar memantau secara rapat pelaksanaan projek yang memberikan kepentingan kepada rakyat, khususnya yang bersifat mendesak.

 “Ini merupakan Mesyuarat Pembangunan Daerah ketiga yang saya hadiri selepas Bentong pada Januari lepas dan Kinta pada Februari.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan dasar dan projek yang diumumkan tidak terhenti pada peringkat perancangan, sebaliknya dilaksanakan dengan berkesan hingga peringkat daerah,” kata beliau. 

Anwar berkata perhatian juga perlu diberikan kepada penyelesaian isu setempat yang telah lama membelenggu rakyat seperti banjir kilat, tanah runtuh, lampu jalan, kediaman daif serta kekurangan infrastruktur asas di kawasan penempatan dan perindustrian.

Beliau turut menegaskan bahawa maklumat tentang keperluan projek dan peruntukan perlu diselaraskan dengan lebih cekap antara semua pihak agar pelaksanaannya dapat dipercepat.

“Masalah rakyat tidak boleh dibiarkan berlarutan dan setiap usaha yang dirancang perlu benar-benar membawa penyelesaian yang dirasai di lapangan,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2531537