KUANTAN, 8 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki warga Thailand maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres di Kilometer 14 Jalan Pekan-Kuantan di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Zaidi Mat Zin berkata kemalangan melibatkan kereta Mitsubishi Triton dan bas ekspres yang membawa 24 penumpang serta seorang pemandu simpanan itu berlaku di persimpangan lampu isyarat di lokasi berkenaan pada 1.15 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari arah Pulau Serai menuju ke Kuantan berhenti di lampu isyarat sebelum dilanggar dari belakang oleh bas yang datang dari arah sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu seorang penumpang belakang pacuan empat roda Hosneeamree berusia 24 tahun yang bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu (Muhammad Shafwan Abdullah Aziz, 29) dan penumpang hadapan kenderaan itu (Mohamad Asri Mohamad Yusoff, 36) masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian perut dan kepala sebelum dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut,” katanya, sambil menambah seorang penumpang bas turut mengalami kecederaan ringan.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA