SHAH ALAM, 10 Mac (Bernama) -- Seorang pengarah urusan syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah RM5,000 kepada Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar tahun lepas.
Goh Chin San, 53, didakwa memberi suapan itu sebagai dorongan supaya pegawai itu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah akta tersebut kerana tidak memiliki lesen premis yang ditetapkan, tidak mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tidak memperoleh kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), serta menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bahu jalan di sekitar sebuah premis di Kuala Selangor, pada 1.15 tengah hari, 22 Mei 2025 mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Goh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana perlu menjaga ibu yang menghidap kanser dan menanggung isteri serta seorang anak yang masih bersekolah selain bersedia mematuhi segala syarat yang ditetapkan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat yang dikemukakan dan menetapkan 13 Mei depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA