AM

Konflik Asia Barat Belum Jejas Eksport Komoditi Negara - Noraini

10/03/2026 04:51 PM

KOTA BHARU, 10 Mac (Bernama) -- Ketegangan di Asia Barat yang menjejaskan pergerakan maritim di Selat Hormuz setakat ini belum memberi kesan ketara kepada eksport komoditi negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau bagaimanapun berkata kos lain termasuk pengangkutan, logistik dan insurans dijangka meningkat sekiranya krisis itu berterusan.

“Buat masa sekarang belum ada lagi kesan ketara memandangkan Selat Hormuz tidak dapat dilalui, namun apabila laluan itu dibuka semula, sudah semestinya akan ada kesan kepada perdagangan.

“Antara komoditi yang berpotensi terjejas termasuk kayu, perabot serta barangan berasaskan minyak sawit. Jika konflik berterusan, kos logistik dijangka meningkat dan apabila kapal melalui kawasan konflik, premium insurans perlindungan kapal juga akan bertambah,” katanya selepas menghadiri Program Turun Padang Menteri Perladangan dan Komoditi di Maahaz Tahfiz Al-Quran Al-Iman di sini hari ini.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di Negara-Negara Teluk.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter supaya tidak membebankan rakyat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun harga minyak dilaporkan semakin meningkat di pasaran global, keadaan di negara ini masih lagi terkawal dengan ketetapan harga RON95 yang rendah menerusi subsidi bersasar.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2532667