JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan Pengarah Syarikat Disyaki Minta, Terima Rasuah RM100,000

11/03/2026 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah.

Menurut sumber, suapan itu sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja sebuah ladang di Selangor bagi tujuan pembangunan komersial.

Sumber memaklumkan lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan pada 12.20 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2025 apabila menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan dan kebenaran pekerja-pekerja berkenaan.

“Suspek yang juga pemegang amanah ke atas tanah seluas lapan ekar (3.24 hektar) itu dipercayai telah menerima wang rasuah beberapa kali dalam tempoh lima tahun dan dia juga menerima wang kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 dan lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok bagi permohonan reman.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2533158